Bunuh Ibu Kandung, Ryan Grantham Dipenjara Seumur Hidup

Pelakon drama bersiri popular Riverdale, Ryan Grantham dikenakan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah membunuh ibunya, Barbara Waite, pada tahun 2020 yang lalu.

Pelakon yang pernah memainkan watak Jeffery Augustine menerusi drama Riverdale itu dijatuhkan hukuman tersebut di Mahkamah Agung British Columbia di Vancouver, Rabu lalu.

Tertuduh yang berusia 24 tahun itu mengaku bersalah atas pembunuhan tahap kedua, biarpun pada awalnya dia didakwa dengan pembunuhan tahap satu.

Menurut pendakwa raya, tertuduh juga merancang untuk membunuh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau selepas membunuh ibunya.

Memetik laporan Astro Awani, Ryan mengaku telah menembak ibunya di bahagian belakang kepala ketika wanita itu sedang bermain piano di rumah mereka.

Malah, tertuduh turut merakam jasad ibunya selepas pembunuhan tersebut berlaku dengan menggunakan kamera Go-Pro miliknya.

“Saya menembaknya di belakang kepala. Dalam beberapa saat selepas itu, dia (mangsa) pasti tahu itu saya (yang menembaknya),” katanya.

Mahkamah turut diberitahu bahawa pelakon itu telah membawa tiga pucuk senjata, peluru, 12 bom Molotov yang dibuatnya bersama peralatan perkhemahan ke dalam kereta sebelum menuju ke kediaman Perdana Menteri Kanada, selepas beberapa jam pembunuhan berlaku.

Namun, pelakon itu telah berpatah balik menuju ke balai polis Vancouver untuk menyerah diri dan  memberitahu seorang pegawai polis bahawa dia telah membunuh ibunya.

Selain itu, mahkamah juga dimaklumkan bahawa Ryan mempertimbangkan untuk melakukan tindakan keganasan besar-besaran di Jambatan Lions Gate Vancouver, Universiti Simon Fraser ketika dalam perjalanan sebelum berpatah balik dan menyerah diri.

Terdahulu, Ryan telah dilaporkan menjalani program kesihatan mental sejak dua setengah tahun penahanannya.

Semasa perbicaraan, peguamnya telah memaklumkan pelakon itu mengalami masalah keresahan dan kemurungan klinikal serta merancang untuk membunuh diri dan mencederakan orang lain beberapa bulan sebelum membunuh ibunya.

Mahkamah turut memutuskan pelakon itu tidak layak mendapat pengampunan dalam tempoh 14 tahun pertama dia menjalani hukuman penjara.

Sumber: Astro Awani

Fatin Nurain