Da’i Danial Tak Jangka Tersingkir

Malam tadi, penonton telah menyaksikan penyingkiran peserta pertama program Da’I musim keenam iaitu Da’i Danial dan Da’i Syazwani.

Program Da’i Pendakwah Nusantara yang mencungkil bakat mencari pendakwah muda itu mula bersiaran sejak 20 Julai lalu.

Berkesempatan menebual Da’I Danial sejurus tamat program minggu pertama, Da’i Danial memberitahu dia tidak menjangkakan akan berlaku penyingkiran.

“ Mungkin persembahan yang saya berikan belum cukup memuaskan hati juri dan murabbi. Tak apa, saya terima penyingkiran ini dengan hati terbuka.

“ Adat dalam sesebuah pertandingan pasti ada kalah menang. Itu ialah lumrah biasa dalam program realiti,” katanya kepada xtra.com.

Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Muhammad Danial Aidil Jaffar berasa penyingkirannya dalam program Da’i adalah peluangnya untuk terus belajar.

“ Jujur, saya tidak fikir soal menang atau kalah. Saya doakan kesemua rakan yang masih berada dalam program Da’i terus mengorak langkah dengan lebih bersemangat.

“ Perjalanan saya baru saja bermula. Buat penyokong di luar sana, saya ucapkan terima kasih,” akhirinya.

Da’i Danial merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ulum Islamiah.

Menarik tentang peserta Da’i musim 2018 adalah mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang tidak hanya terhad dalam bidang agama sahaja, malah mereka terdiri daripada latar bidang seperti Perakaunan dan Sains Tulen.

SGMS Faida