Dakwaan Suami Abai Nafkah Madu, Miera Leyana Hampir Jadi Singa Gara-Gara Diserang Netizen Mulut Celupar

Baru-baru ini, nama pelakon Miera Leyana hangat menjadi perbualan netizen selepas tular isu berhubung suaminya, Rosland Othman yang didakwa gagal mencapai kata sepakat untuk berdamai dengan isteri pertama, Adibah Abdul Mutalib.

Malah, keadaan menjadi lebih tegang selepas anak tirinya, Izzah Rosland memuat naik ciapan di Twitter miliknya mendakwa bapanya culas dalam membayar nafkah namun boleh bercuti mewah di luar negara.

Susulan itu, berdasarkan pemerhatian XTRA, ruangan komen Instagram milik Miera dibanjiri makian dan kritikan rata-rata netizen yang meluahkan rasa berang.

 

Menyedari perkara tersebut hangat menjadi tumpuan, Miera menerusi dua hantaran di Instagram Story miliknya memuat naik video pendek yang disunting daripada drama lakonannya, ‘Peah Singa’.

Menerusi video tersebut, Miera berada dalam keadaan emosi dan marah serta menulis kapsyen dengan berkata dirinya hampir menjadi singa dek kritikan netizen.

“Sis perhatikan je netizen ni, Nak jadi Peah Singa ni,” tulisnya.

Meskipun teruk dikecam, Miera tidak mengendahkan komen-komen tersebut.

Sebelum ini, suami Miera didakwa tidak menjalankan tanggungjawab kepada isteri pertama hingga mengabaikan pemberian nafkah, serta dipercayai telah menyekat panggilan telefon dan aplikasi teks pesanan ringkas.

Bukan itu sahaja, memetik laporan MalaysiaKini, isteri pertamanya turut mendakwa Rosland tidak melayannya seperti seorang isteri semenjak berkahwin dengan Miera pada tahun 2020.

Aqilah Paharuzi