20% Mata Kiri Alami Kerosakan Akibat Lakon Babak Aksi, Ben Amir Akui Tertekan

Pelakon Ben Amir mengaku tertekan selepas mengalami kecederaan melibatkan mata kirinya akibat melakukan babak aksi dalam sebuah penggambaran.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan punca sebenar kejadian dan perkara tersebut berlaku.

Menurut Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amiruddin Sabaruddin, 33, dia telah melakukan pembedahan pada Jun tahun lalu akibat kecederaan yang teruk sehingga 20 peratus mata kirinya itu rosak sepenuhnya malah penglihatannya juga turut terjejas.

“Alhamdulillah semuanya sudah pulih tapi kira-kira 20 peratus bahagian mata alami kerosakan. Memandu malam pun sekarang ini sukar.

“Doktor maklumkan untuk pulih dari pembedahan akan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga bulan tapi, dalam tempoh enam bulan sebelum ni, memang saya mengalami fasa tekanan apatah lagi, doktor juga tidak sarankan saya untuk melakukan aktiviti lasak,” katanya.

Sementara itu, Ben menganggap tahun 2023 sebagai permulaan untuk dirinya kembali beraksi dalam dunia seni selepas tempoh ‘berehat’ selama enam bulan.

Terdahulu, Ben telah dinobatkan sebagai Bintang Telenovela, Pelakon Lelaki Terbaik Telenovela 2019/2020 pada majlis Anugerah Telenovela Ke-8 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin