Dapat Cek $168.42 (RM684), Jennifer Garner Enggan Berhenti Berlakon

Jangan terkejut! Itu bukan bayaran yang diperoleh oleh pelakon Hollywood terkenal, Jennifer Garner. Jennifer hanya berkongsi momen manis apabila anak lelakinya, Sam (7) memberinya sekeping cek untuk jumlah USD168.42 (RM684) sebagai tanda terima kasih kerana menjadi ibunya. 

Jennifer memuat naik foto cek yang ditulis oleh Sam, bertarikh 25 Disember, buat ‘Mama’ sebagai entri di akaun Instagram miliknya sebagai kenang-kenangan.  

“Nampaknya, melahirkan dan membesarkan anak hanya berharga $168.42. Saya rasa saya patut kekal bekerja,” seloroh pelakon itu di dalam kapsyen. 

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengikut Jennifer terhibur dengan telatan Sam itu dan terkejut bagaimana dia boleh meletakkan amaun yang begitu spesifik.
Ada yang membuat andaian mungkin itulah jumlah yang diperolehnya sewaktu perayaan Hari Krismas yang lalu. So sweet!

Selain Sam, Jennifer juga mempunyai dua orang anak perempuan, Violet (14) dan Seraphina (11) hasil dari perkongsian hidup dengan bekas suami, Ben Affleck. Mereka berpisah pada tahun 2018 selepas 13 tahun berkahwin. 

 

Sumber: today.com dan Instagram @jennifer.garner

Del14