Debaran Noryn Aziz Menjelang Konsert ‘Soul Sisters’

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, konsert ‘Soul Sisters’ bakal berlangsung di Panggung Sari di Istana Budaya.

Penyanyi Noryn Aziz ketika ditemui dis sesi raptai hari ini memberitahu meskipun pernah beraksi di pentas berprestij itu, debaran untuk membuat persembahan tetap menebal.

“ Saya tidak mahu rasa tertekan fikirkan bagaimana agaknya suasana pada hari konsert itu nanti. Saya mahu penonton seronok malah terus ingat dengan persembahan kami nanti.

“ Saya sendiri juga dah tak sabar nak tengok hasilnya selepas sebulan menjalani latihan suara bersama Misha dan Sarah,” katanya kepada XTRA.

Dalam masa sama, bekas Penerbit Eksekutif Warner Music Malaysia Datuk Nasser Abu Kassim yang bertindak sebagai pengarah muzik menyeru agar peminat muzik tanah air turun menyokong penganjuran konsert kali ini.

“ Selepas sekian lama saya tidak ‘turun padang’, akhirnya saya terima tawaran ini memandangkan Edd merupakan sahabat baik saya.

“ Apa yang saya boleh katakan, persiapan konsert berjalan baik dan gabungan tiga nama besar dalam industri muzik ini bakal menjanjikan kepuasan telinga dan mata penonton,” katanya.

Konsert ‘Soul Sisters’ anjuran syarikat produksi persembahan Edd Razhe Entertainment (ERE) menggabungkan penyanyi hebat Misha Omar, Siti Sarah dan Noryn Aziz bakal diadakan di Istana Budaya pada 5 dan 6 April ini.

Tiket boleh dibeli di www.airasiaredtix.com pada harga RM 755 (Meet & Greet), RM 555 (Diamond), RM 355 (Platinum), RM 255 (Gold) dan RM 155 (Silver).

SGMS Faida