Dedah Punca Pemergian Abang Sulung, Uyaina Arshad Minta Orang Ramai Buat Pemeriksaan Kesihatan – “Kena Beringat Ajal Tak Kira Usia”

Selepas lima hari pemergian abang tersayang, pelakon dan pengacara Uyaina Arshad membuat sesi siaran langsung di Instagram bagi mendedahkan punca pemergian abang sulungnya.

Menerusi sesi siaran langsung tersebut, Uyaina mendedahkan bahawa abangnya itu disahkan meninggal dunia akibat jantung tersumbat oleh pegawai perubatan.

“Ramai yang bertanya apa punca. Jadi, Yana nak berkongsi sebab Yana rasa benda ini dapat beri manfaat dekat kita semua.

“So macam tajuk live ni serangan jantung di usia muda. So, lepas result post-mortem keluar abang Yana disahkan meninggal dunia disebabkan oleh jantung tersumbat,” ujar Uyaina.

Bukan itu sahaja, Uyaina turut membuat pendedahan bahawa dirinya turut didiagnos menghidap dua jenis masalah jantung.

“Tahun 2018, Yana sendiri I was diagnosed with two hearts condition. Yang pertama, Supraventricular Tachycardia (SVT) yang mana degup jantung Yana laju. Yang kedua, Quadricuspid Aortic Valve (QAV) orang normal ada tiga tapi Yana ada empat,” jelas Uyaina.

Tidak dapat menahan sebak, Uyaina memaklumkan bahawa abangnya tidak mempunyai simptom seperti dirinya malah abangnya merupakan seorang yang aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Arwah abang langsung tak ada simptom cuma dia pernah mengadu dekat Kak Tini (isteri arwah abang) dia sakit dada.

“Ini Yana boleh katakan simptom-simptom awal untuk orang yang ada masalah jantung,’’ jelasnya lagi.

Menerusi perkongsian tersebut, pengacara WHI itu menasihatkan kepada orang ramai untuk membuat pemeriksaan satu tubuh badan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Siapa yang join live Yana harini, Yana nak ingatkan kita semua sebenarnya, kita rasa macam muda lagi, Yana masa diagnos umur 27, abang sulung Yana meninggal umur 35, kita semua kena beringat yang penyakit jantung or any penyakit or ajal dia tak kenal usia

“Kita mungkin rasa kita amalkan gaya hidup sihat, kita aktif, kita rajin bersenam, kita jaga makan, tapi tolong pergi buat check up, pergi jumpa doktor check darah, check satu tubuh badan kita,” ujarnya.

Kongsi Uyaina, faktor penyakit jantung ini juga boleh berlaku disebabkan oleh keturunan atau genetik yang tidak boleh diubah seperti yang dialaminya dan arwah abang tercinta.

“Mungkin berkaitan dengan kitorang, Yana tak ada masalah lain cuma jantung termasuk abang Yana. Keturunan atau genetik juga antara salah satu faktor tak boleh diubah yang meninggikan lagi risiko penyakit jantung.

“Take note dekat situ. Keturunan atau genetik okay. Ia terutama jika membabitkan ibu bapa atau adik beradik yang terkena serangan jantung di usia muda,” jelasnya sebak.

Terdahulu, Uyaina berkongsi berita duka apabila abang sulungnya, Mejar Dr Mohd Attaful Uzair bin Arshad telah pergi menghadap ilahi ketika sedang melakukan aktiviti berbasikal pada 19 Ogos 2022 hari Jumaat lepas.

Atiqah Johari