Sharnaaz Ahmad Sanggup Datang Awal Demi ABP

Pelakon Shaarnaz Ahmad yang tersenarai dalam pencalonan awal dalam ABPBH 31 memberitahu dia tidak mahu meletakkan sebarang harapan kali ini.

Untuk rekod lama, Shaarnaz pernah memenangi dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular ABPBH 29.

“ Saya hanya mahu mengucapkan selamat maju jaya buat semua calon bertanding. Acara ini memang saya tunggu setiap tahun kerana ia menghimpunkan semua anak seni daripada pelbagai bidang.

“ Malah, paling membuatkan saya teruja jika ABPBH diadakan di Genting Highlands. Saya sanggup datang sehari lebih awal semata-mata untuk bertemu teman seperjuangan.

“ Ia juga bukan soal kalah atau menang. Jujurnya, ABPBH tetap acara anugerah nombor satu di hati saya,” katanya.

Aktor berusia 35 tahun ini mula dicalonkan pada anugerah bintang popular sejak penganjuran ke-24 menerusi kategori Artis Baharu Lelaki Popular.

Dalam pada itu, pelakon Cinta Bukan Kristal ini memberitahu dia gembira dengan perubahan selepas bergelar bapa.

“ Selama ini saya seorang yang tidak berapa gemar budak kecil. Segalanya berubah apabila tengok anak sendiri lahir. 

“ Saya mula menghargai golongan bapa. Saya kini bukan sekadar suami dan ayah, malah berusaha menjadi lelaki yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Akui Shaarnaz, dia sering memikirkan soal anak lebih-lebih lagi ketika keluar rumah.

Sharnaaz dan  Noor Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan menimang cahaya mata pertama pada 30 Ogos lalu.

SGMS Faida