Didakwa Berkahwin Kali Ketiga, Amar Asyraf Pilih Jaga Privasi & Ikut Saranan Ulama – “Kalau Ada Yang Tahu, Tahulah..”

Selepas kes cerai talak tiga isteri kedua selesai, nama Amar Asyraf kembali hangat di media sosial dan terkini, pelakon itu digosipkan telah berkahwin kali ketiga.

Dakwaan tersebut muncul setelah sekeping foto memaparkan pelakon tersebut disamping seorang wanita bersama dua cahaya mata, dipercayai hasil perkahwinan mereka.

Memetik laporan mStar, Amar memilih untuk tidak berkongsi mengenai status rumah tangganya demi menjaga privasi keluarga.

Menurut Amar, 35, dia berpegang kepada kata para ulama yang menegaskan bahawa terdapat tiga perkara yang tidak boleh dikongsikan kepada umum.

“Saya sebenarnya tak ada apa nak cakap atau beritahu apa-apa. Bagi saya, bukan nak merahsiakan tapi lebih memilih untuk privasi apabila melibatkan hal rumah tangga.

“Apa yang terjadi sebelum ini memberi pengajaran kepada saya. Jadi, saya tidak mahu berkongsi apa-apa mengenai kehidupan peribadi. Tapi kalau ada yang tahu, tahulah.

“Lagipun, saya berpegang dengan kata-kata beberapa ulama yang beritahu tak boleh kongsi usia, harta dan kisah keluarga kepada umum,” katanya.

Terdahulu, heboh di media sosial mengenai sebuah foto mesra yang memaparkan Amar dengan seorang wanita bernama Farhana mengenakan busana putih.

Foto berkenaan dimuat naik pada 19 Mac lau dipercayai menerusi akaun Instagram milik ibu Amar.

Untuk rekod, Amar mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama, Arma Salleh pada 7 Jun 2013, dan dikurniakan dua cahaya mata.

Pada Oktober 2019, Amar mendedahkan dia berkahwin kali kedua bersama wanita bernama Vivy Jefri beberapa tahun sebelum.

Namun, pada Khamis lalu, media melaporkan mereka sah bercerai talak tiga yang telah dibuat pada 19 November 2019.

Sumber: mStar

Aqilah Paharuzi