Categories: HiburanTrending

Didakwa Malu Guna Bahasa Melayu Dalam Lagu, Hilang Jati Diri? Dolla Ada Misi Tersendiri

Penyanyi berkumpulan, Dolla tampil menjawab dakwaan yang mengatakan mereka tidak berbangga dengan bahasa ibunda gara-gara hanya satu lagu Melayu sahaja dimuatkan dalam album New Classic.

Mengakui mereka mengetengahkan konsep dan elemen antarabangsa, Dolla bagaimanapun mempunyai alasan tersendiri serta bukan berniat memandang rendah terhadap bahasa Melayu.

Tabby menekankan bahawa sebab utama banyak lagu dalam bahasa asing terutamanya Inggeris dimuatkan dalam album tersebut bertujuan mempromosikan Dolla ke peringkat antarabangsa.

“Sejajar misi mengembangkan sayap ke peringkat Asia Tenggara, maka album New Classic lebih banyak memuatkan lagu bahasa Inggeris.

“Ini juga cara terbaik perkenalkan Dolla kepada peringkat antarabangsa dan memudahkan usaha jika menyanyi dalam bahasa Inggeris,” jelasnya.

Berdasarkan temu ramah Dolla dengan BH Online itu, , pemenang trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35 itu masih akan menyanyikan lagu-lagi Melayu.

“Meskipun album New Classic dalam bahasa Inggeris, namun itu tidak bermakna ia akan diteruskan untuk projek album akan datang. Kami tetap akan merakamkan lagu bahasa Melayu.

“Kami juga tetap akan perkenalkan Dolla sebagai kumpulan pop dari Malaysia dan akan tetap bertutur dalam bahasa Melayu. Kami sangat berbangga dengan jati diri sebagai anak Malaysia,” katanya.

Tabby memberitahu mereka mempopularkan lagu Inggeris kerana bahasanya lebih mudah difahami dan bersifat universal.

Bagai menyusun satu strategi, mereka dilihat ingin menjemput peminat Dolla di luar negara agar mendalami budaya Melayu setelah mereka jatuh cinta dengan lagu-lagu Inggeris yang dinyanyikan.

“Seperti yang dikatakan, usaha ini dibuat untuk memudahkan orang luar mengenali Dolla dan lagu nyanyian kami.

“Bila mula biasa dengan lagu kami, mereka pasti akan mendengar lagu Dolla yang lain, sekali gus mengenali budaya Melayu dengan lebih dekat lagi,” katanya lagi.

Sumber : BH

Syamir Shafie