Didakwa Menderita Anorexia Nervosa, Apa Komen Amyra Rosli?

Pelakon Amyra Rosli mengaku tidak berkecil hati dengan komen diterima di laman Instagram apabila disamakan dengan penderita Anorexia Nervosa.

Akui isteri kepada Amar Baharin ini, dia sememangnya memiliki tubuh kecil sejak sebelum berkahwin lagi.

“ Saya sihat dan dakwaan disamakan dengan penyakit itu sama sekali tidak benar. Mungkin selepas melahirkan anak, saya menjaga anak tanpa bantuan pembantu jadi tiada masalah bagi saya untuk menurunkan berat badan dengan mudah.

“ Ditambah dengan kesibukan shooting di lokasi Nur 2, berat badan saya turun sedikit. Suami pun tak kisah dan tak mengadu apa-apa, jadi saya okay sahaja dengan berat badan begini,” kata Amyra tenang.

Penyakit Anoreksia Nervosa dikaitkan dengan individu yang cenderung melihat diri mereka sebagai mempunyai berat badan berlebihan, sungguhpun berat mereka sangat kurang dan membahayakan kesihatan dalam masa sama menyekat jumlah pengambilan makanan dengan kuantiti makanan yang sangat kecil.

Amyra ketika ditemui di majlis berbuka puasa sempena Hari Ibu anjuran The Calla & Flores semalam memberitahu meskipun berat badan hanya mencecah 41 kilogram, dia tidak pernah berdepan masalah kesihatan.

“ Selain mengamalkan produk kesihatan badan, Juzfit saya juga kekal aktif dalam aktiviti harian. Saya mengaku disebabkan bertubuh terlalu kecil, baju saiz XS juga adakala longgar bila disarungkan.

“ Saya tak kisah apa orang nak kata asalkan saya sihat dan suami pun okay, saya tidak tertekan pun dengan tulisan netizen,” jawabnya ringkas.

SGMS Enal