Anita Baharom Sahkan Hidap SLE

Pelakon Anita Baharom mendedahkan dia menghidap sejenis penyakit dikenali Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus sejak beberapa tahun lalu.

“Saya dapat tahu mengidap penyakit itu selepas menjalani pemeriksaan di beberapa hospital dan pakar akhirnya mengesahkan saya mengidap SLE Positif.

“Penyakit itu menyebabkan saya tidak boleh terlalu tertekan apabila bekerja. Kalau tidak, sebahagian urat saraf yang menggerakkan anggota tubuh tiba-tiba saja hilang fungsi.

“Contohnya Sabtu lalu ketika sibuk mengurus acara HASA 4.0, tiba-tiba saja salah satu jari tangan menjadi ‘lembik’ dan tidak boleh menggerak.

“Saya dapat rasa urat di bahagian itu jadi ‘tegang’ apabila cuba gerakkannya,” katanya.

Anita turut mendedahkan ia bukan kejadian pertama yang berlaku ke atas dirinya dengan terbaru selepas selesai penggambaran filem Keluarga Iskandar The Movie di Johor Bahru, pada Mac lalu.

“Habis saja penggambaran, saya sangat penat sebab ‘all-out’ di set dan sebaik saja pulang ke rumah, tubuh badan saya sudah mula lemah,” katanya lagi.

Katanya, dia terus terbaring lemah selama dua minggu sehingga terpaksa dicampung suami untuk bergerak ke mana-mana kerana tubuhnya ‘lumpuh’ sepenuhnya.

“Apa yang boleh saya beritahu, saya masih mampu mengurus diri selain selalu dibantu suami dan anak-anak.

“Saya tidak mahulah timbul isu lain kerana berkongsi penyakit dialami. Insya Allah kami sekeluarga masih mampu untuk berusaha. Doakan saja saya pulih,” katanya bergantung kepada ubat dan rawatan Homeopati pada masa ini.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida