Slash Tampil Single Berkonsepkan Religi?

Sempena kedatangan bulan Ramadan ini, kumpulan yang popular dengan lagu Taman Astakona ini kembali dengan single ke empat mereka berjudul, ‘Dan Leburkanlah’ setelah bertapak dalam industri pada tahun 1994.

Bernaung  dibawah label mereka sendiri iaitu, Astakona Entertainment,  Slash merupakan kumpulan yang berkonsepkan pop rock yang dianggotai oleh Nuar (vokalis), Joe dan Rafix ( gitaris), Jack (pemain bass) serta Alin  (pemain drum). 

Single  berjudul ‘Dan Leburkanlah’ adalah ciptaan sepenuhnya oleh pemain gitar mereka, Joe. Dan, single ini juga turut mendapat khidmat vokalis kumpulan 6ixthsense iaitu Adi selaku penerbit bersama.

Namun, apa yang menariknya, single kali ini turut menampilkan bekas anggota kumpulan Ahli Fiqir iaitu Daly Filsuf.

 

Menurut Joe, kalau diamati setiap bait-bait kata dalam lagu ini, semuanya adalah bertemakan kecintaan terhadap Maha Pencipta yang memberikan hidayah kepada seluruh umatnya.

“Kami mahukan sebuah lagu yang santai, berbaur pop dan catchy dan mesej yang disampaikan juga berunsur kebaikan buat generasi muda. Walaupun kumpulan kami wujud di era 90-an,  tetapi sedikit sebanyak kami inginkan sedikit perubahan dengan mengetengahkan orang muda seperti Adi, Taja, dan Daly.” Katanya

Dan, apa yang penting, semoga lagu ini diterima oleh peminat setia kami malah semua golongan masyarakat. 

 

Salma Syahbuddin