Didakwa Obses Dengan Berat Badan, Ini Respons Atikah Suhaime

Pelakon Atikah Suhaime menafikan dirinya obses untuk menurunkan berat badan kerana mengamalkan diet berterusan.

Memetik laporan Utusan, Atikah sedar ramai yang mempersoalkan perkongsiannya di TikTok mengenai menu buat mereka yang ingin diet.

Menurutnya, perkongsian tersebut adalah untuk menerapkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan iaitu melalui amalan pemakanan sihat.

“Saya tidak pandai berkongsi perkara lain seperti menari, jadi saya jadikan memasak sebagai pengisian untuk mendekatkan saya dengan peminat.

“Saya kongsi ilmu yang diperoleh daripada jurulatih peribadi dan berharap ia memberi manfaat kepada pengikut saya di platform tersebut.

“Harap jangan salah faham kerana saya bukan mahu menurunkan lagi berat badan. Saya amalkan pemakanan sihat untuk menjaga kesihatan,” katanya.

Disoal tentang kelahiran wajah baru dalam industri hiburan, Atikah sentiasa memberi sokongan kepada mereka yang berminat menceburi bidang seni.

“Saya suka melihat kehadiran ramai pelakon muda. Malah, saya juga banyak belajar daripada pendekatan mereka di media sosial. Mereka mempunyai idea yang sangat kreatif.

“Melihat kehadiran mereka membuatkan saya sentiasa mempersiapkan diri untuk terus kekal relevan dalam industri hiburan.

“Zaman sekarang tidak sama seperti dahulu. Kalau mereka lebih tertumpu kepada media sosial, saya pula sempat merasai pengalaman sebagai penghias muka depan majalah,” ujarnya.

Maya Basir