Isu Adegan Cium Elizabeth Tan, Jay Iswazir Tampil Buka Mulut

Pelakon Jay Iswazir memohon maaf kepada pihak yang tersinggung dengan babak cium rakan gandingan, Elizabeth Tan dalam filem Abang Long Fadil 3.

Memetik laporan Harian Metro, dia mengakui perbuatan tersebut adalah salah dan mengambil perkara itu sebagai satu pengajaran untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Mungkin ada segelintir pihak berpendapat adegan itu sebagai perkara kecil. Mungkin juga ada yang tersinggung dengan babak itu. Apa pun, saya terima dan memohon maaf kerana terlepas pandang.

“Apa yang penting adalah saya seharusnya mengambil pengajaran dan tidak terus membiarkan orang bercakap mengenai isu itu. Lebih baik saya menjauhi perkara yang boleh mengundang fitnah,” ujarnya.

Menurutnya, dia bertindak berdiam diri kerana tidak mahu memanjangkan lagi isu yang secara terang-terangan adalah salah.

“Saya sebelum ini berdiam diri kerana tidak mahu memanaskan lagi isu yang sedia menjadi bualan hangat. Selepas sekian lama, akhirnya saya membuka mulut dan sekali lagi memohon maaf.

“Sebagai pelakon, saya menjadikan isu itu sebagai iktibar dan lebih berhati-hati pada masa akan datang agar ia tidak berulang,” katanya.

Terdahulu, Elizabeth mengaku babak mencium Jay dalam filem dilakukan sendiri tanpa bantuan teknik kamera.

Namun, babak itu dilakonkan sebelum Elizabeth berkahwin dengan suami, Dr Siew Jim.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir