Categories: HiburanTrending

Dikritik Seksi & Terpalit Kontroversi, Beby Acha Minta Netizen Jangan Kaitkan Dengan Arwah Achik Spin

Seringkali dikritik, penyanyi Beby Acha, 31, memohon agar netizen tidak mengaitkan kontroversi yang melanda dirinya dengan Allahyarham Achik Spin yang merupakan abang kandungnya.

Menurut pemilik nama Nur Aishah Md Shari ini, nama arwah Achik turut meniti di bibir warganet apabila dirinya terpalit dengan isu panas.

“Apabila ada segelintir netizen yang kaitkan kontroversi saya dengan arwah, saya rasa perkara itu tak seharusnya terjadi. Saya yang dikaitkan dengan kontroversi, jadi kalau orang tegur saya, saya tak kisah.

“Janganlah kaitkan dengan arwah, lagi-lagi dia dikenali orang ramai. Dengan hati terbuka, saya menerima kritikan dan teguran orang lain tapi jangan kaitkan dengan ahli keluarga saya, lebih-lebih lagi arwah abang saya yang telah tiada,” katanya kepada XTRA.

Beby Acha ditemui di majlis berbuka puasa anjuran MVM dan Rusa Music baru-baru ini.

Pelantun lagu Jaga Jaga ini pernah dikaitkan dengan kontroversi kerana pemakaian seksi serta tariannya di laman sosial TikTok.

Penyanyi ini juga pernah dikritik kerana menggunakan props buah pisang dalam muzik video single Jerung Merah yang didakwa mempunyai unsur lucah.

Optimis menerima setiap teguran, Beby Acha mahu mengembangkan lagi kerjayanya dalam bidang muzik.

“Saya tak kisah dikritik kerana bagi saya, setiap teguran itu bagus untuk saya menjadi lebih baik di masa akan datang.

“Sebagai seorang penyanyi yang memulakan karier ketika pandemik pada tahun 2020, ia sedikit sebanyak menyukarkan perjalanan saya kerana semuanya terbatas.

“Kini, perjalanan karier pun semakin baik. Selepas dua tahun pandemik, saya sudah boleh bertemu peminat mempromosikan karya seni saya,” katanya lagi.

Padin