Elak Ada Babak Nur 2 Bocor, Pengarah Letak Syarat Ketat Di Set

Pelakon drama Syafiq Kyle mengakui teruja kembali ke set penggambaran drama Nur 2 yang bermula baru-baru ini.

Katanya yang membawa watak Ustaz Adam, pengarah drama Shahrulezad Mohameddin turut meletakkan syarat untuk semua pelakon dan krew yang terlibat di set penggambaran.

“ Kami tidak dibenarkan membawa telefon ke set dan hanya boleh membawa keluar selepas tamat kesemua babak pada hari itu.

“ Ini kerana beliau tidak mahu ada babak yang bocor di laman sosial. Saya anggap ini salah satu langkah bijak bagi meneruskan kembali fenomena drama ini. Kalau sudah ditonton lebih awal, saya sendiri sebagai pelakon pun hilang teruja nak menontonnya di TV nanti,” katanya yang ditemui di sidang media pelancaran muzik video Semakin di Red Box The Garden, semalam,

Tambah Syafiq, drama Nur 2 turut menampilkan kelainan dengan persembahan luar biasa daripada Azar Azmi.

“ Azar membawakan watak wanita yang daring. Saya harus puji keberaniaanya untuk menggalas cabaran membawakan watak Juita.

“ Saya tidak boleh bercerita lebih lanjut mengenai Nur 2 kerana nanti keterujaan penonton hilang pula bila tiba tarikh tayangan. Apa saya boleh cakap, Nur 2 lebih ‘berani’,” katanya.

Drama berkenaan dijangka ditayangkan pada April depan, dengan mengisi slot Samarinda yang menemui penonton pada jam 10 malam, Isnin hingga Khamis.

SGMS Faida