Categories: FeaturedGaya Hidup

Bayi ini dipilih sebagai model kempen jenama syampu terkemuka kerana rambutnya!

Selalunya seorang bayi dilahirkan dengan rambut yang nipis, tetapi Chanco dari Jepun bukanlah seorang bayi biasa.

Si comel ini dikurniakan dengan rambut yang selebat rambut singa! Hanya kerana rambutnya, dia menjadi sensasi laman Instagram ketika baru berumur empat bulan.

Popularitinya berlipat ganda apabila dia dipilih untuk menjadi model bagi iklan jenama syampu terkenal, Pantene, di Jepun. Kecil-kecil lagi dah jadi model!

Lihatlah gambarnya ketika dia baru berumur empat bulan!

Bukan saja iklan, malah Chanco yang kini berusia setahun juga adalah bintang utama bagi kempen Pantene terbaru yang dinamakan #HairWeGo.

Pada tahun lalu, syarikat media People menerbitkan rencana mengenai Chanco yang mengatakan bahawa si kecil ini layak untuk membintangi iklan rambutnya yang tersendiri.

Setelah membaca artikel tersebut, Presiden Penjagaan Rambut dan Kecantikan Global P&G, Alex Keith, tertarik dengan Chanco dan bersetuju untuk melantiknya mode bagi kempen terbaharu Pantene.

“Kami berjumpa dengan ibunya, Mami Kano kerana personaliti dan perwatakan unik Chanco adalah setanding dengan imej wanita yang ingin kami sokong,” kata Pengarah Bersekutu Jenama Penjagaan Rambut P&G Japan, Yoshiaki Okura.

Pada bulan lalu, Pantene Japan memuat naik video bertajuk “The Hairy Tale” yang menceritakan kisah rambut Chanco dari sudut pandangannya sendiri.

Berikut ialah kempen dalam video itu: “Sejak saya dalam perut ibu lagi, saya memang ada banyak rambut. Ibu terus jatuh cinta dengan rambut saya. Dia sering memberitahu betapa comelnya saya.

“Semua orang di dunia ini berkata saya nampak comel. Hampir semua orang…

“Saya tertanya-tanya jika ia disebabkan oleh rupa saya yang lain daripada bayi biasa? Tapi ibu tak kisah kerana dia sayangkan rambut saya.”

Video berkenaan kemudian menunjukkan mesej yang menggalakkan penonton untuk menerima diri mereka seadanya dan berbangga dengan kelainan yang dimiliki.

“Jika semua orang boleh belajar untuk menyayangi kelainan mereka, dunia ini pastinya lebih aman,” kata pengacara dalam kempen berkenaan sebelum mengakhiri dengan kata-kata, “Rambut saya memajukan diri saya.”

Pada 7 Januari lalu, Pantene Japan menerbitkan sebuah iklan yang menampilkan model cilik ini serta juruhebah televisyen Jepun, Sato Kondo, yang terkenal dengan rambut berwarna kelabunya.

Foto: P&G Japan Hair Care Communications

Foto: Pantene

Chanco sudah pun mengumpul sekitar 375,000 orang pengikut di Instagram walaupun dia hanya berada dalam platform itu tidak sampai setahun.

Menurut People lagi, ibu Chanco tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memotong rambut Chanco yang lebat itu.

Sebaliknya, beliau berkata, beliau bercadang untuk mengekalkan keistimewaan anaknya itu. “Saya akan mengekalkan rambutnya dengan memberus dan membiarkan Chanco hidup sebagaimana yang dia mahu,” katanya.

Hmm… Besar kemungkinan Chanco ialah model rambut yang tercomel dalam sejarah iklan syampu. Anda setuju tak?

Sumber: People, Insider

Ad Ops