Categories: Hiburan

Enggan Baca Komen Negatif… Nabil Ahmad Hanya Beri Nasihat Berdasarkan Hukum Agama – “Kalau Salah, Saya Akan Hubungi Pemanggil Itu & Minta Maaf”

“Kalau saya salah, mungkin saya akan hubungi semula pemanggil berkenaan dan minta maaf,” kata penyampai radio dan pelawak Nabil Ahmad yang dikecam selepas dikatakan tidak cakna dengan keperitan orang lain ketika memberi nasihat.

Baru-baru ini, Nabil dan Neelofa telah dikecam teruk oleh warganet kerana dikatakan tiada empati dalam memberikan nasihat kepada seorang pemanggil yang meluahkan rasa kecewanya terhadap ibunya yang tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan: Darjat Ibu Bapa Terlalu Tinggi Untuk Diperdepat, Neelofa Akui Kelemahan Dalam Memberi Pandangan – “Saya Bukan Ustazah…”

Menyedari perkara itu, Nabil menyatakan dia memilih untuk tidak membaca komen negatif yang dilemparkan kepadanya dan rakan baiknya, Neelofa.

“Saya tak baca langsung komen negatif dalam media sosial dan tak nak ambil kisah. Asalkan tak menyalahi dari sudut agama, selain mendapat persetujuan ustaz, itu sudah memadai,” katanya ketika ditemui XTRA.

Tambah Nabil, nasihat yang diberikan itu berdasarkan hukum agama, bahkan tindakannya itu mendapat sokongan selepas membuat rujukan dengan orang yang lebih pakar dalam perihal agama.

Tegasnya, dia hanya menasihatkan pemanggil itu supaya memaafkan ibunya meskipun wanita tersebut culas dengan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

“Saya faham perasaan pemanggil berkenaan. Sebagai anak, kalau tak mahu perasaan sedih, luka dan kecewa tak makan diri semula, salah satu caranya adalah memaafkan.

“Memaafkan tidak semestinya melupakan, kena ambil dari sudut atau perspektif agama.

“Saya juga ada rujuk perkara ini kepada pendakwah bebas, PU Amin dan dia menjawab untuk angkat darjat diri, syaratnya dengan memaafkan. Alhamdulillah, selepas mendengar penjelasannya adalah sedikit rasa lega,” katanya.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Nabil ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro di sebuah hotel, baru-baru ini.

Fatin Nurain