Enggan Masuk Campur, Rosyam Nor Pilih Kunci Mulut – “Saya Tidak Ambil Tahu Hal Orang Lain”

Pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor enggan masuk campur dan memberi sebarang komen berhubung konflik antara pengarah filem The Original Gangster (TOG), Syamsul Yusof dan Datuk Aaron Aziz.

Sebelum ini, Aaron tampil mendedahkan bahawa namanya telah digugurkan untuk terlibat dengan pembikinan filem tersebut.

Menurut Rosyam, dia tidak mengambil peduli dengan konflik yang berlaku sebaliknya mengekalkan prinsipnya untuk kekal profesional.

“Ketika bekerja, saya tidak ambil tahu hal orang lain. Apabila sampai di set penggambaran, saya akan berlakon. Jadi, apa yang terjadi atau ada dengar-dengar mengenai perkara lain, saya tidak peduli.

“Siapa yang ada dekat set penggambaran itulah pasangan yang saya berlakon bersama. Saya tidak mahu campur aduk kerja saya dengan masalah produksi.

“Konflik yang berlaku itu adalah masalah produksi, bukan masalah saya. Sebagai pelakon, saya dibayar dan datang ke lokasi untuk berlakon.

“Selebihnya, saya tidak mahu masuk campur… Itu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon itu turut menyatakan konflik yang berlaku di antara Syamsul dan Aaron tidak mengganggu proses penggambaran filem tersebut kerana ia berlaku diluar jangkaan.

“Tidak mengganggu… Kenapa perlu sampai terganggu pula? Dalam hidup ini, bukan semua yang kita mahu boleh dapat.

“Ada perkara yang kita rancang tidak sempurna. Kalau tidak sempurna, kita mohon pada Allah dan habiskan sahaja kerja kita.

“Sebagai contoh, kalau bercinta, tidak semestinya berakhir dengan perkahwinan. Kalau berkahwin sekalipun, tidak semestinya kekal,” katanya.

Perkara tersebu telah didedahkan oleh Rosyam ketika ditemui pada pelancaran kempen Ramadan TV9, Janji Berbaloi 149 di ST Rosyam Mart, semalam.

Terdahulu, Syamsul mendedahkan Aaron mengalami masalah kesihatan iaitu ‘slip disc’ serta kenaikan berat badan yang menjadi sebab beliau digugurkan daripada membintangi filem yang masih dalam pembikinan itu.

Namun, isu tersebut semakain hangat menjadi tumpuan selepas pelakon berasal dari Singapura itu memuat naik hantaran video di IG mendakwa Syamsul enggan berjumpa berhubung isu digugurkan daripada membintangi filem TOG.

Fatin Nurain