Faizal Hussein Terkejut Penyamar Guna Namanya Di TikTok… Perdaya Peminat Sehingga Ajak Kahwin

Pelakon Faizal Hussein, 56, mengakui platform media sosial sangat penting bagi seseorang yang bergelar anak seni tanpa mengira usia.

Faizal berkata dia juga mempunyai akaun media sosial seperti TikTok bagi mengeratkan hubungan bersama peminatnya.

“Saya sebenarnya ada akaun TikTok. Sebagai seorang pelakon sekarang ini amatlah diperlukan beberapa media sosial.

“Anak-anak saya yang uruskan, mereka tak bagi saya muat naik sendiri, apa yang dimuat naik di TikTok Faizal Hussein tu adalah hasil daripada mereka.

“Mereka lagi handal daripada saya, saya hanya ikut sahaja kerana mereka lebih mahir dengan teknologi. Kadang-kadang jumlah tontonan lebih daripada 1 juta, maknanya ia menjadi lah,” katanya kepada XTRA ketika ditemui pada malam gala filem Imam di Istana Budaya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Faizal turut mendedahkan ada pihak yang menyamar menjadi dirinya untuk memperdayakan peminatnya di TikTok sehingga mengajak untuk berkahwin.

“Baru-baru ini ada orang menyamar jadi saya di TikTok, kemudian bila akaun tersebut ada ramai pengikut, dia jual akaun itu.

“Selepas itu, dia ajak pula peminat saya berkahwin. Nasib ada peminat lain yang beritahu saya. Kononnya saya yang ajak tapi bukan,” kongsinya kepada XTRA.

Tambah pelakon filem Imam ini, dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana perkara tersebut bukan datang daripada dirinya sendiri.

“Apa yang saya boleh buat?, saya tiada hak apa pun. Kalau saya menyalak pun tak berguna. Ia tidak mendatangkan apa-apa maklum balas pun.

“Selagi dia tak godam akaun saya, saya tak kisah sebab itu memang bukan daripada Faizal Hussein. Peminat pun boleh tahu takkanlah Faizal Hussein nak cakap macam tu,” tambahnya.

Filem Imam menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Datuk M Nasir, Faizal Hussein, Vanidah Imran, Natasha Charmain dan ramai lagi.

Filem Imam mula menemui penonton mulai 2 Mac 2023 di pawagam seluruh negara.

Khairil Khusyairi