Pertaruh Bintang Baharu Dalam Filem, Eidolon: Bayangan Dendam Mula Ditayangkan Pada 9 Mac Ini

Pengarah Don Hoe tampil dengan naskhah pertama iaitu filem bergenre seram yang berjudul Eidolon: Bayangan Dendam bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Filem ini mengangkat tema dendam, misteri dan hantu dalam satu persembahan yang sama

Apa yang lebih menarik, filem ini menampilkan wajah-wajah baharu yang bukan berlatar belakangkan sebagai pelakon.

Oleh itu, Don Hoe mempunyai alasan tersendiri dengan mempertaruhkan pelakon-pelakon baharu ini dalam naskhah pertamanya.

“Pertama sekali, penggambaran dijalankan di Pulau Pinang dan negeri tersebut bukanlah bandar yang mempunyai ramai pelakon.

“Kedua, saya mahu memberi peluang kepada mereka yang berbakat di Pulau Pinang dan melalui casting saya cuba mencari pelakon,

“Tambah, penggambaran dibuat ketika fasa PKP dan pelakon dari luar susah untuk mendapat kebenaran merentas negeri,” kata Don Hoe.

Malah, Julian pula berpendapat kejayaan sesebuah karya itu tidak hanya bergantung kepada populariti seseorang pelakon.

“Kami akui tidak menampilkan nama-nama besar dalam Eidolon. Bagi saya, nama besar tidak semestinya akan memberi kejayaan atau keuntungan.

“Sebelum ini, saya juga pernah terbitkan filem dan menampilkan pelakon yang mempunyai nama tetapi masih mengalami kerugian,” jelas Julian yang merupakan produser dan pelakon utama.

Eidolon: Bayangan Dendam dibintangi oleh Julian Cheah, Chazynash, Tyty Nazmin, Faiez, Fifi, Cik My dan juga penampilan istimewa Nik Amirul Faiz, Zack Aminuddin, Zati Nizamm, Jean Tan dan Jeffrey Leong.

Filem ini bakal merasuki penonton bermula 9 Mac 2023 di pawagam seluruh Malaysia.

Atiqah Johari