Famili Duo 3: Enggan Isteri Banyak Bergerak, Fuad Rahman Terpaksa Buang Imej ‘Rockstar’ Demi Tom?

Penyanyi Fuad Rahman terpaksa buang rasa malu untuk menari di atas pentas separuh akhir Famili Duo musim ketiga (FD3) yang akan berlangsung pada malam Ahad ini.

Menurut Fuad, dia sanggup berkorban membuang imej sebagai penyanyi rock supaya isterinya, Tom tidak perlu banyak bergerak kerana sedang hamil tujuh bulan.

“Saya sanggup buang maruah sebagai penyanyi rock untuk menari.

“Saya tidak mahu isteri terlalu banyak bergerak di atas pentas. Jadi biar dia fokus sahaja kepada nyanyian,” katanya semasa ditemui di majlis sidang media Famili Duo 3 Di Roadshow OGAWA di KL East Mall, Kuala Lumpur, semalam.

Bagi persembahan separuh akhir yang menampilkan tema hip hop dan dance, pasangan ini bakal menyampaikan lagu Papa Jahat nyanyian The Fabulous Cat dan Malam Pagi oleh Saixse.

Sementara itu, Fuad memberitahu banyak menguruskan hal persembahan mereka kerana enggan membebankan Tom apatah lagi isterinya mengalami alahan teruk sepanjang kehamilan kali ini.

“Sepanjang penyertang dalam FD3 kali ini pun memang saya yang banyak menguruskan hal berkaitan persembahan. Saya tahu keadaan isteri sedang sarat hamil,” ujarnya.

Pada minggu ketujuh ini mereka akan membuat persembahan bertemakan Hip Hop dan Dance.

Selain Fuad dan Tom, program ini turut disertai oleh duo Ryan dan Adam, Shila dan Syahir, Syaiful dan Sharif, Adira dan Emma, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran.

Orang ramai boleh menonton Famili Duo setiap hari Ahad, jam 9 malam di TV3 atau secara strim di platform Tonton.

Maya Basir