Fara Fauzana Tak Sangka Masih Relevan Untuk Tercalon Dalam ABPBH 35

Penyampai radio terkenal Fara Fauzana tidak sangka dirinya masih lagi tercalon bagi kategori Penyampai Radio Popular bagi acara berprestij Anugerah Bintang Popular Berita Harian 35 (ABPBH), tahun ini.

Menurut Fara, dia memang sudah menjangka perkara ini akan terjadi biarpun baru sahaja membuat kemunculan semula sebagai penyampai radio selepas lima tahun bersara.

“Saya tak speechless tapi sejujurnya saya tahu benda ni pasti akan berlaku bila kembali ke radio. Nak pula kembali ke Hot FM.

“Cuma, saya bagitahu pengurusan yang kita hanya fokus pada radio sahaja dan tak fikir benda lain. Saya takut saya salah cakap sebab misi saya buat comeback adalah untuk go on air and enjoy. Tapi untuk menidakkan itu tidak baik,” katanya.

Pernah memenangi kategori tersebut selama lapan kali berturut-turut, Fara bagaimanapun menganggap pencalonan itu sesuatu yang positif buat dirinya yang masih relevan dalam kalangan pendengar.

“Saya melihat benda ni dari sudut positif bila saya buat comeback lepas lima tahun. Dia ada sedikit sebanyak ada tanda aras yang memang saya diterima kembali dan penerimaan tu positif.

“Tapi bila bercakap pasal ABP, saya tak fikir pasal menang pun sebab tujuan saya hanya ingin kembali on air je. Apa yang berlaku selepas itu kita anggap rezeki sebab Fara Fauzana sendiri membesar dengan anugerah ini.

“Saya rasa, kita kena tengok kita berada dalam fasa kat mana sekarang juga sebab orang dah mula panggil saya ‘aunty’ dan tak semua kenal saya. Kita tengok peredaran masa tu.

“Apa pun itu adalah bonus. Kalau tak menang pun saya tak ada masalah sebab saya percaya orang akan memahami yang setiap orang ada citarasa sendiri,” jelasnya.

Untuk makluman, Fara Fauzana pernah memenangi Anugerah Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH selama lapan tahun berturut-turut, pada 2007 sehingga 2014.

Fatin Nurain