Farid Kamil Syukur Urusan Jumpa Anak Dipermudahkan – “Saya Harap Mungkin Boleh Disulami Dengan Ibu Mereka Sekali”

Pelakon, Farid Kamil memaklumkan proses hadanah berhubung kes jagaan sementara anaknya, Muhammad dan Aurora masih belum selesai namun, segala urusan untuk berjumpa mereka sangat mudah.

Menurut Farid, dia berasa sangat bersyukur dengan kerjasama diberikan isterinya, Diana Danielle yang sangat bertolak ansur dan profesional apabila membabitkan hal anak-anak.

“Alhamdulillah segala proses hari ini berjalan lancar.

“Buat masa ini perjumpaan bersama anak-anak mudah sekali. Sekiranya nak tambah hari juga dibenarkan.

“Saya bersyukur dengan situasi itu, saya harap perjumpaan saya dengan anak-anak suatu hari nanti mungkin boleh disulami dengan ibu mereka sekali,” ujar Farid ketika ditemui XTRA di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor, pagi ini.

Menurut peguam kepada Farid, Fakhrul Azman, berkata, proses lawatan anak-anak tidak mempunyai masalah dan berharap ia kekal positif hingga akhir perbicaraan.

“Prosiding hari ini adalah pendengaran ‘inter parte’ dan hak jagaaan sementara anak-anak dari segi dokumentasi dan afidavit semuanya telah difailkan mengikut arahan mahkamah.

“Saya rasa perjalanan lawatan anak-anak buat masa ini tiada masalah, semuanya berjalan lancar dan kita harap ia dipermudahkan sehingga akhir perbicaraan kelak.

“Ini baru sahaja hak jagaan sementara, untuk hak jagaan penuh belum ditetapkan lagi.

“Setiap kali perjumpaan kita akan hantar surat dan Alhamdulillah respon sangat baik,” ulasnya ketika ditemui di perkarangan mahkamah.

Namun Diana yang ditemui media selepas keluar dewan bicara enggan memberikan sebarang komen mengenai proses hari ini.

Terdahulu, pada 25 Mei yang lalu, prosiding sulh antara Diana Danielle dan Farid Kamil yang membabitkan hak jagaan anak-anak mereka masih belum selesai dan masih belum menemui jalan penyelesaian.

Sulh adalah majlis perbincangan bersama antara pihak-pihak yang terbabit dalam suatu pertikaian, membabitkan satu atau lebih tuntutan dengan dipengerusikan oleh pegawai sulh.

Seandainya suatu persetujuan secara damai dapat dicapai secara sukarela antara kedua belah pihak, ia akan direkodkan oleh hakim sebagai satu perintah mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Khairil Khusyairi