Farisha Iris Nafi Rampas Tunang Influencer, Tak Peduli Masa Lalu Teman Lelaki – “Dia Sertakan Bukti…”

Penyanyi Farisha Iris menafikan segelintir pihak mendakwa dirinya sebagai perampas tunangan orang.

Memetik laporan Kosmo, Farisha atau nama sebenar Farisha Asmadi memaklumkan teman lelakinya, Hardee bukan tunangan sesiapa semasa mereka menjalinkan hubungan cinta pada Mac lalu.

Malah, dia menegaskan mereka mula berkenalan sekitar awal tahun ini dan waktu itu kekasihnya sudah lama putus tunang.

“Saya memang sedang bercinta tetapi saya ingin menegaskan bahawa saya tidak merampas hak sesiapa.

“Kenyataan yang mendakwa saya perampas memang tidak tepat kerana saya kenal si dia (Hardee) awal tahun ini dan dia sudah lama putus tunang,” katanya.

Terdahulu, hubungan Hardee dan pempengaruh media sosial, Myra Zainal tidak kesampaian kononnya kerana kehadiran orang ketiga.

Namun, pelantun lagu Alasan Terindah enggan ambil peduli kisah lalu teman lelakinya yang menjadi bualan netizen di media sosial.

Malah, dia lebih memilih untuk berbincang dengan kekasihnya bagi meluahkan kebimbangan yang dirasai.

“Apabila orang maklumkan kepada saya mengenai apa-apa yang membuatkan saya berasa pelik, saya akan terus bertanya kepadanya.

“Dia juga akan sertakan bukti yang membuatkan kita memberikan 100 peratus kepercayaan kepadanya,” ujarnya.

Maya Basir