Categories: SelebritiTrending

Liyana Jasmay Tidak Terlalu Selektif, Sentiasa Terbuka Demi Minat

Pelakon Liyana Jasmay tampil menyatakan dirinya tidak terlalu selektif dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

Menurut Liyana, dia tidak bersetuju dengan persepsi liar sesetengah pihak yang menganggapnya memilih bulu dan hanya ingin bekerjasama dengan pelakon serta pengarah gred A sahaja.

“Saya tidaklah selektif sangat, tak kisah lakonkan karakter apa sekalipun sebab saya memang benar-benar suka dan boleh berlakon asalkan berkemampuan dan berkelapangan.

“Saya juga tak memilih dengan siapa saya nak berlakon, malah terbuka bekerjasama dengan pendatang baharu kerana saya nak belajar daripada mereka. Cara mereka berfikir tentunya berbeza dengan generasi saya.

“Kalau saya tolak (tawaran) bukan sebab memilih, sebaliknya ada projek lain yang saya usahakan. Jangan kerana status senior, kita memilih,” katanya ketika mempromosikan drama bersiri terbaru terbitan Viu Malaysia, Alter- Naratif, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Liyana juga menyatakan dirinya lebih mengutamakan minat lakonan dan tidak terlalu memikirkan tentang soal bayaran sebelum menerima sesuatu tawaran lakonan.

“Saya bukan pelakon yang bercakap soal bayaran di awal perbincangan dengan penerbit. Sukar untuk saya berbuat demikian. Saya buat (berlakon) sebab minat.

“Saya pernah jadi penerbit, jadi saya faham kekangan peruntukan yang mungkin dihadapi syarikat produksi. Memang setiap pelakon ada kadar bayaran tertentu. Tapi kita bukan Hollywood yang ada garis panduan tentangnya,” jelasnya.

Malah, dia juga menegaskan penglibatannya dalam industri seni adalah kerana minat terhadap lakonan biarpun terpaksa berdepan dengan fasa mencabar.

“Kalau tidak, saya tak rela berlakon bawah cuaca panas. Lebih baik duduk di rumah, jaga anak atau jadi suri rumah.

“Semua ini saya buat kerana minat. Kemahiran berlakon adalah hadiah yang Allah S.W.T kurniakan kepada saya. Bukan semua orang dapat.

“Jadi saya buat memang kerana mahu buat. Asalkan orang tak ambil kesempatan,” tegasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Liyana Jasmay Kini Lebih Peka Tentang Status Kesihatan Diri – “Genetik Saya Berisiko Hidap Kanser”

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Perbezaan Warna Kulit Jadi Diskriminasi, Liyana Jasmay Kekal Positif

Fatin Nurain