Foto Berunsur Luc*h Dalam Muzik Video Tular, Chubb-E Akui Tiada Adegan Keterlaluan

Isu panas melibatkan foto wanita separuh bogel bersama-sama penyanyi, Chubb-E yang tular baru-baru ini nampaknya masih hangat diperkatakan.

Malah, ada pihak yang beranggapan bahawa tindakan tersebut hanyalah gimik semata-mata kerana mahukan publisiti untuk muzik terbaharunya berjudul Rambang.

Bagaimanapun, Chubb-E atau nama sebenarnya, Muhammad Sharul Ashlyn Ag Asharul Affandy, 23, tampil menegaskan bahawa tiada sebarang adegan panas atau melampau yang perlu dibimbangkan oleh semua pihak.

“Dalam muzik video itu tiada adegan keterlaluan malah, saya juga tidak bersentuhan dengan model wanita itu.

“Paparan yang menunjukkan aksi menari wanita itu hanya beberapa saat sahaja dan saya tahu orang akan bercakap perkara sama seperti yang terjadi kepada Zul Ariffin sebelum ini,” katanya.

Tegasnya lagi, dia juga tidak tahu bagaimana foto tersebut boleh tersebar sebelum lagu tersebut dilancarkan kerana ia bukanlah sebahagian daripada gimik yang telah dirancang oleh pihak pengurusannya.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana gambar tersebut boleh tersebar. Tak sangka ia menjadi satu kontroversi sebelum lagu dilancarkan. 

” Saya tiada niat untuk sengaja mencipta kontroversi demi meraih perhatian peminat kerana pihak kami sudah merancang gimik tersendiri selepas melancarkan lagu ini nanti,” jelasnya.

Terbaharu, menerusi hantaran di Instagram story miliknya, Chubb-E ada memuat naik status seolah-olah ditujukan kepada individu yang terlibat disebalik kejadian yang berlaku.

Justeru itu, pemenang anugerah Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 33 (ABPBH 33) ini berharap agar peminat dapat melihat konsep dan maksud yang ingin disampaikan dalam lagu tersebut.

Salma Syahbuddin