Gara-Gara Video Berunsur L*cah, PU Syed Beri Teguran Buat Aliff Syukri – “Bayangkan Anak Kamu…”

Baru-baru ini kecoh apabila Datuk Seri Aliff Syukri memuat naik hantaran di akaun Instagramnya mengenai muzik video (MV) yang bakal dilancarkan bersama penyanyi Baby Shima.

Namun, video tersebut telah mendapat perhatian ramai termasuk pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU), Syed Mohd Bakri Syed Ishak gara-gara video tersebut didakwa keterlaluan kerana Baby Shima memaparkan tarian aksi lucah.

Susulan itu, PU Syed telah mengemukakan surat terbuka kepada Aliff Syukri dan menasihatkannya untuk tidak melancarkan MV tersebut.

Perkongsian video tersebut telah disifatkan sebagai menderhaka kepada Allah secara terbuka oleh PU Syed.

“Teguran terbuka buat jangan berani kamu lawan larangan Allah. Derhaka pada Allah secara terbuka.

“Sekali lagi Aliff Syukri buat kontroversi dengan merakamkan album atau lagu dangdut terbaharu. Saya tak pasti sama ada sedar atau tidak perbuatan merakamkan lagu dangdut kalau berunsur keagamaan atau bagi nasihat tak jadi masalah.

“Tapi jemput artis yang goyang gerudi dan macam-macam. Saya tak kenal siapa artis tersebut. Cuma saya harap pihak Aliff Syukri tidak menerbitkan lagu ini dan didedahkan kepada masyarakat. Ini bukan sesuatu yang sihat,” tegurnya.

Bukan itu sahaja, PU Syed turut menyatakan bahawa tindakannya itu akan meninggalkan impak yang negatif kepada keluarganya dan juga masyarakat.

“Bayangkan anak kamu melihat wahai Aliff Syukri, isteri kamu yang menutup aurat itu melihat, anak perempuan kamu, anak lelaki kamu dan ibu kamu melihat perbuatan kamu sekarang.

“Apa yang kamu mahu dedahkan kepada masyarakat,” jelasnya lagi.

Selepas terpalit dengan pelbagai isu, Aliff Syukri dikatakan sengaja ingin mencetuskan kontroversi.

“Cukup kenyangkah kamu dengan kecaman orang? Sering kali kamu keluarkan kontroversi sampai terpaksa orang lain pula bagi nasihat.

“Adakah kamu nak macam itu? Adakah kehidupan kamu untuk menyenangkan perut hati kamu semata-mata? Tidakkah kamu suka menggembirakan agama Allah SWT.

“Cukuplah kemungkaran yang berlaku di depan mata. Jangan tambah lagi,” ujar PU Syed.

Tambahnya, PU Syed turut meminta Aliff Syukri untuk sentiasa ingat akan kematian.

“Saat kematian kita bagaimana. Adakah kamu bersedia untuk menanggung segala dosa penonton yang menonton video dangdut mengarut kamu ini?

“Fikirkan bersama wahai Aliff Syukri. Datuk Seri minta maaf saya tak sebut pangkat. Yang penting nama kamu Aliff Syukri, yang penting kamu takut kepada Allah SWT lebih daripada kami takut kehilangan harta sendiri,” ucap PU Syed.

Terdahulu, usahawan kontroversi, Aliff Syukri telah mencetuskan kontroversi apabila telah menerbitkan sebuah iklan tudung tetapi berunsurkan lucah di laman sosial.

Atiqah Johari