Hanya Tukar Nama Bukan Matlamat – Dj Dave

Selaras dengan visi membantu menjaga kebajikan dan membela nasib artis tanpa mengira agama, bangsa, umur dan budaya, Yayasan Artis 1Malaysia mengumumkan penukaran nama kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

Penukaran ini berkuatkuasa sejak 5 Jun lalu, pengumuman ini dibuat oleh pengerusinya Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave.

” Yayasan ditukar nama selepas perbincangan antara sembilan ahli pemegang amanahnya.

“ Saya harap ia tidak dipolitikkan, matlamat yayasan ini masih sama iaitu melakukan kebajikan dan membantu golongan artis tanah air,” katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa bersama pelakon Filem Kalla di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Tambahnya, setakat ini YKAT sudah membantu lebih 1,000 anak seni yang berdepan dengan masalah kewangan termasuk di Sabah dan Sarawak.

“ Keutamaan bantuan akan tetap diberikan kepada golongan artis berusia yang dilihat sukar mencari rezeki bagi menampung kehidupan diri dan keluarga,” katanya.

Sempena hari raya yang bakal menjelma pula, YKAT akan menghulurkan bantuan istimewa kepada 20 anak seni, antaranya Zainal Rampa, Yazit Ahmad, Amran Tompel, Hamid Gurrkha, Wan Maimunah dan Datuk Dahlan Zainuddin.

SGMS Faida