Terbaik! Hasrat Eina Azman Bantu Kanak-Kanak Sakit Kulit Terlaksana

Alhamdulillah…Hasrat pelakon Datin Paduka Eina Azman untuk membantu dua beradik yang mengalami masalah kulit akhirnya terlaksana.

Baru-baru ini, Eina telah memuat naik di laman Instagramnya mengenai niatnya untuk membantu mengurangkan beban dua kanak-kanak Lela Safiya Azmi dan Muhammad Nayl Safiy Shahrul Azmi.

“ Alhamdulillah, atas persetujuan ibu mereka, saya dapat membawa mereka bertemu pakar kulit di sebuah klinik swasta untuk pemeriksaan lanjut.

“ Sebentar tadi Eina bawa Kak Nurul dan suami n dua orang anaknya berjumpa dengan doktor pakar kulit di sebuah klinik swasta di Subang Jaya.

” Doktor cakap anak-anaknya boleh pulih tapi memakan sedikit masa. Kak Nurul juga mempunyai masalah Ekzema dan Eina akan minta doktor untuk rawat dia juga. Insyallah diberi rezeki yang lebih Eina dan suami akan menghulurkan bantuan setiap bulan kepada keluarga Kak Nurul sehingga pulih, Insyallah,” tulisnya di Instagram.

Selepas berbincang dengan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah, Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman turut membantu ibu mereka, Nurul Ain Abdullah mendapatkan rawatan dengan pakar kulit.

“ Sebagai ibu yang mempunyai sepasang anak yang sedang membesar, saya sebak melihat penderitaan dua beradik itu.

“ Tidak dapat saya bayangkan sekiranya saya berada dalam situasi mereka. Itu yang menggerakkan hati saya untuk membantu keluarga ini.

“Saya difahamkan, ibu kanak-kanak itu turut menghidap ekzema sejak remaja, selain penglihatannya kurang jelas. Sedih apabila dimaklumkan, mereka sering dipandang rendah, malah dua beradik itu juga sukar tidur malam kerana tidak selesa dan pedih dengan keadaan kulit mereka,” katanya.

Difahamkan, bapa pasangan kanak-kanan ini bekerja sebagai kelindan lori dan menerima gaji bulanan sebanyak RM850 sebulan.

“ Orang ramai semua yang nak bantu meringankan beban keluarga Kak Nurul ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 562085617913 Nurul Ain Abdullah,” akhirinya.

 

SGMS Faida