Hati Ellie Suriaty Terpaut, Ini Sebab Kaka Azraff Dipilih Bawa Watak Isteri Setia Berbasikal Ke IPD Gerik

Pelakon terkenal, Ellie Suriaty kini sedang menyiapkan karya baharu iaitu filem Saadiah: Bekal Kasih Merdeka.

Filem tersebut diinspirasikan daripada kisah balu anggota polis bernama Saadih Abdullah yang pernah tular kerana tidak pernah jemu menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Perak selama 37 tahun untuk mengenang Allahyarham suaminya, Alias Nik Daud.

Alias meninggal dunia pada 1975 dalam serangan hendap pengganas komunis sewaktu bertugas sebagai jurupandu bot di balai berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai filem tersebut, Ellie berkata hatinya seakan terpahat untuk memilih penyanyi Kaka Azraff bagi memegang watak Saadiah.

Menurutnya, dia sangat optimis terhadap kualiti lakonan yang ditampilkan oleh Kaka sewaktu melihat persembahannya menerusi lagu Gila bersama Noki K-Clique dan Loka B.

“Saya pilih Kaka sebab lagu Gila. Bila saya teliti liriknya itu, dalam hati terdetik bahawa jika dia mampu capai apa yang saya mahukan.

“Jadi pemikiran dan idealistiknya di dalam lagu tersebut ‘bertemu’ dengan titik pertemuan yang saya mahukan di dalam karektor Saadiah ketika muda.

“Ia seterusnya membawa kepada titik pertemuan dengan Saadiah ketika tua yang dilakonkan Khadijah Tan. Itu yang saya mahukan daripada seorang pelakon yang memainkan satu peranan untuk dua zaman,” ujarnya.

Katanya lagi, personaliti Kaka dan Khatijah yang membawa watak Saadiah pada tahun 2012 tidak mempunyai banyak perbezaan, justeri dia mempercayai perjalanan filem ini akan lebih realistik.

“Kalau kita tengok dari segi susuk fizikal, ada persamaan apabila dilihat daripada ‘green screen’. Perubahan sosok Saadiah pada 1975 membawa kepada perubahan latar masa 2012, ia seumpama seorang pelakon yang sama.

“Ia memamng cantik berdasarkan latar masa. Jadi itu yang terbaik yang kami dapat bentukkan karakter Saadiah seadanya,” jelasnya.

Difahamkan, filem terbitan Penerbit Pencil Pictures & Records Sdn Bhd milik Datuk Ayu Puteh itu bakal ditayangkan di pawagam tahun hadapan bersempena sambutan Hari Polis atau Hari Pahlawan.

Sumber: Media Hiburan

Aqilah Paharuzi