“Tidak Pernah Rasa Diri ‘Dianaktirikan’ Walaupun…” – Fauziah Nawi Akui Tawaran & Peluang Berlakon Semakin ‘Kecil’

Pelakon veteran, Fauziah Nawi, 69, mengakui tidak pernah berasa dirinya dianaktirikan oleh mana-mana pihak produksi ataupun stesen televisyen.

Menurutnya, istilah ‘dianaktirikan’ itu tidak pernah ada sepanjang berkecimpung dalam dunia lakonan, apatah lagi beliau kini masih diberi tawaran untuk  membawakan watak utama dalam dranma terbaharu TV3 berjudul, Nenda.

Namun, beliau sedar ruang dan peluang buat golongan pelakon senior sepertinya untuk diberikan tawaran membawakan watak utama semakin kecil.

“Permintaan untuk pelakon berusia dan senior melakonkan watak utama dalam drama amat kurang termasuk juga penghasilan skrip yang sesuai. Malah, bagi drama Nenda ini pun, pada saya satu percubaan berani yang dilakukan pihak produksi dan TV3 untuk penonton.

“Sebagai pelakon, saya dan rakan artis senior yang lain sebenarnya kami okey saja jika ditawarkan watak utama. Selagi sihat, boleh berjalan dan otak pun masih ‘function’ nak hafal skrip, kami tiada masalah untuk bekerja,” katanya.

 

Fauziah Nawi ditemui ketika sesi sidang media secara maya pada Selasa memaklumkan, sebagai pelakon senior dalam industri, dirinya tidak kekok bila digandingkan bersama pelakon baharu kerana menyifatkan berada di set penggambaran adalah sesuatu yang menyeronokkan.

“Saya dan rakan pelakon senior yang lain, kami dah pernah muda dan merasa nama dikenali. Jadi, di masa sekarang, kami juga sedar masa yang dulu itu sudah berlalu. Tapi, minat kami pada lakonan tak pernah pudar.

“Malah,  kami juga sangat seronok berada di set penggambaran dan tidak kisah pun jika digandingkan dengan pelakon baharu.

“Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada TV3 dan produksi Saphire Screen Sdn Bhd kerana memberi peluang kepada kami yang berusia ini melakonkan watak utama dalam drama Nenda,” jelasnya.

Untuk makluman, drama Nenda lakonan Fauziah Nawi, Didie Alias, Kuna Muzani, Mandy Chong, Rosli Rahman Adam, Shaharuddin Thamby, Nabil Aqil dan Camelia Natasya ini akan ditayangkan di slot Sakura TV3, pada setiap hari Isnin hingga khamis, pada jam 6 petang.

 

Salma Syahbuddin