Hilang Lebih 20 Kilogram Selepas Jalani Bariatrik, Melly Goeslaw Hanya Makan Nasi Satu Senduk – “Saya Lebih Sihat Sekarang”

Penyanyi dan komposer hebat Indonesia, Melly Goeslaw memberitahu dia kehilangan berat badan sebanyak 25 kilogram selepas menjalani pembedahan bariatrik pada Julai lalu.

Menurut ratu runut bunyi filem itu, dia juga bersyukur masalah kencing manis yang dihidapinya juga kembali sembuh.

“Selepas membuat pembedahan memotong usus atau bariatrik banyak yang berubah, sejujurnya berat badan saya menurun 25 kilogram dalam tempoh 4 bulan.

“Diabetis saya juga sembuh. Bahagian hidangan saya juga sedikit jadi saya lebih sihat sekarang, badan lebih ringan.

“Sebelum buat pembedahan saya perlu buat pemeriksaan kesihatan, dan saya baru tahu yang saya alami masalah kencing manis tahap kritikal, sebab arwah ibu saya juga alami masalah kesihatan sama,” katanya kepada XTRA ketika ditemui pada sidang media Ada Apa Dengan Melly? di ibu kota, baru-baru ini.

Disoal adakah terdapat kesan selepas menjalani proses pembedahan itu, pelantun lagu Ketika Cinta Bertasbih memberitahu dia tidak berasa sakit mahupun lemau.

“Dua minggu pertama, saya tidak boleh makan apa-apa kecuali air kosong, teh panas dan susu protein. Saya fikir saya akan lapar tapi tidak kerana perut sudah tinggal 15 peratus dari 100 peratus dipotong 85 peratus.

“Tiada apa-apa, tidak berasa lemau dan sakit kerana proses pembedahan itu tak bahaya. Lebih sakit lagi bila saya melahirkan anak.

“Sekarang saya perlu memilih apa yang mahu dimakan, hanya satu senduk sahaja untuk kekalkan gula dalam badan,” ujarnya.

Konsert Ada Apa Dengan Melly? bakal berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan tiket boleh dibeli di www.ticket2u.com.my bermula dengan harga RM288 sehingga RM1588.

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert ‘Ada Apa Dengan Melly?’ Janji Kembalikan Nostalgia Zaman Remaja

Khairil Khusyairi