Ibarat ‘Langit & Bumi’, Sarah Suhairi Nafi Tiru Suara Idola?

Penyanyi meningkat naik Sarah Suhairi antara calon yang disebut-sebut bakal menjuarai program realiti Big Stage.

Sarah ketika ditemui Xtra memberitahu dia agak tertekan dengan ‘harapan’ orang ramai yang diletakkan di bahunya. 

“ Saya bimbang tidak boleh bawa tanggungjawab itu. 

“ Saya sedar perlu berusaha keras untuk merealisasikannya untuk memberi persembahan terbaik. Saya tak mahu berada di zon terlalu selesa,” katanya.

Ketika diminta mengulas tentang persamaan suara dengan penyanyi Dayang Nurfaizah, penyanyi berusia 18 tahun itu memberitahu perbandingan tersebut ibarat ‘langit dan bumi’.

“ Saya tak mahu kemunculan saya dibayangi penyanyi lain. Lagi- lagi saya masih baru dalam dunia seni. 

“ Tidak layak untuk saya dibandingkan dengan Kak Dayang. Vokal dia jauh lebih hebat dan dia berpengalaman. Dia adalah idola saya,” katanya yang bersyukur bakatnya diterima baik setakat ini.

Jika diberi peluang, Sarah memberitahu dia berhasrat merakamkan lagu duet bersama penyanyi popular Syamel. 

“ Kalau bolehlah saya teringin nak ada duet dengan Abang Syamel. Melihat kepada kejayaan gandingan lagu Abang Syamel dan Cikgu Ernie, memang best.

“ Kalau penyanyi wanita pula, sudah tentu saya pilih Dayang Nurfaizah,” akhirinya ringkas. 

SGMS Faida