Idayu Keluar Single Terbaru

Juara Akademi Fantasia Megastar, Idayu menjelaskan single terbarunya, Yang Ku Rindu berbeza dengan lagu yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Kata Idayu, dia mengakui single terbaru ini membuatkan dia mampu menonjolkan vokal yang ada. 

“Saya berasakan Yang Ku Rindu ini amat berbeza dari segi susunan muzik jika mahu dibandingkan dengan single terdahulu. 

“Bunyinya lebih matang dan saya dapat menonjolkan lagi kemampuan vokal saya.

“Sejujurnya, sudah lama saya tidak mendapat lagu seperti ini sejak lagu Kasih Yang Terpisah ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hasan dan Putus ciptaan Yunfadzil. 

“Jadi, saya melihat dua eleman ini sebagai kekuatan dan kelebihan lagu ini,” katanya.

Idayu atau nama sebenarnya Nur Farah Idayu Yaakob berkata, bagi mendapatkan hasil terbaik, lagu itu melalui beberapa kali proses penambahbaikan.

“Sebenarnya lagu ini sudah dicipta lama dan melalui proses penambahbaikkan dari semasa ke semasa terutamanya susunan muzik. 

“Ia dibuat dengan teliti untuk menghasilkan kesinambungan lagu yang baik dan mempunyai elemen kejutan. 

“Proses rakaman vokal pula mengambil masa hanya dua jam memandangkan saya sudah dapat lagu ni agak lama. 

“Jadi ia sudah sebati dan tahu hala tuju lagu ini. Sementara proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ pula mengambil masa tiga minggu untuk mendapatkan hasil yang terbaik,” katanya lagi.

Lagu ‘Yang Ku Rindu’ edaran Seventeen Eleven Music Sdn. Bhd ini boleh dimuat turun di semua digital platform seperti Apple Music, iTunes, Spotify, JOOX, KKBOX dan Deezer. 

Nantikan muzik video ‘Yang Ku Rindu’ bakal dilancarkan pada 16 Ogos ini.

 

Kredit: Gempak

SGMS Faida