Imran Ajmain Jawab Gosip Cinta Dengan Sherry Alhadad – “Saya Cari Wajah Yang Familiar Supaya Rasa Tenang…”

Sebelum ini, penyanyi Imran Ajmain pernah dijodohkan bersama pengacara popular, Sherry Alhadad selepas pengacara itu berkongsi sebuah video pendek di Instagram miliknya.

Menerusi perkongsian tersebut, Sherry telah memuat naik video dirinya sedang menghayati nyanyian Imran ketika di majlis persandingan pelakon Sharifah Amani dan suami, Ahmed Faris pada 10 September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:Saling Memuji, Peminat ‘Kenenkan’ Imran Ajmain Dengan Sherry Alhadad

Menjawab spekulasi yang timbul, Imran atau nama penuhnya, Ahmad Imranullah, 41, berkata, dia dan Sherry adalah kawan dan selalu berjumpa apabila terlibat dalam ‘show’ yang sama.

“Sherry adalah kawan saya. Kami selalu berjumpa bila ada show bersama. Kebetulan masa persandingan Sharifah Amani, Sherry adalah wajah pertama yang saya kenal dalam ramai-ramai crowd yang hadir.

“Sebelum saya menyanyi tu memang saya nervous, bila saya masuk je ke dalam dewan, muka dia dulu yang saya nampak. Dan, saya selalu cari wajah yang familiar supaya saya rasa tenang bila buat persembahan.” katanya menerusi temu bual bersama program Melodi.

Sementara itu, Imran juga menganggap video tular sebelum ini adalah tindakan spontan daripada Sherry yang sedang menghayati bait lirik lagu yang dinyanyikannya.

“Mungkin pada waktu tu, Sherry bertindak spontan… tu bila dia nampak saya dia macam hati berbunga-bunga mungkin terhadap lagu dan bukan terhadap saya.

“Berkenaan komen ‘mesra’ pula, saya tak bermaksud apa-apa selain dia betul-betul sangat cantik pada malam tu,” jelasnya.

Pelantun lagu Seribu tahun ini juga memaklumkan, soal jodoh dia tidak akan berahsia terutamanya kepada peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini.

“Tiada apa-apa hot story, saya bukan jenis yang merahsiakan apa-apa. Jadi sekiranya saya ada apa-apa dengan sesiapa, saya akan jujur dan saya akan cerita pada semua yang berhak tahu,” ujarnya.

Terdahulu, Imran dikatakan sentap selepas ada segelintir netizen yang bertanya adakah dia hanya mempunyai satu lagu hit sahaja sepanjang karier nyanyiannya.

ARTIKEL BERKAITAN:Netizen Hanya Tahu Lagu ‘Seribu Tahun’? Imran Ajmain Ulas Dakwaan Dikatakan ‘Sentap’

Salma Syahbuddin