“Inilah Kali Pertama Rezeki ‘Back To Back” – Azza Elite Syukur Hasrat Kembali Berlakon Capai Sasaran

Pelakon Azza Elite atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari meluahkan rasa syukur apabila hasratnya untuk kembali aktif berlakon mencapai sasaran satu persatu.

Setakat ini, empat drama lakonannya sedang disiarkan di TV3, iaitu Mem & Bibik-Bibik, Republik Gombak, 7 Hari Mencintaiku 3 dan Isteri-Isteri Ayah.

Menurut Azza, ini merupakan kali pertama tawaran berlakon datang tidak putus-putus selama 26 tahun dia menceburi dunia seni.

“Selama 26 tahun saya ceburi dunia seni, inilah kali pertama rezeki berlakon ‘back to back’. Walaupun bukan watak utama, kesempatan dan momen seperti ini bukan selalu datang.

“Tidak pernah saya bayangkan dapat berlakon dalam drama yang menjadi fenomena dan kegilaan ramai di TV3 seperti 7 Hari Mencintaiku 3.

“Watak Kak Piah dalam drama itu pun membuatkan saya dibenci,” katanya.

Selain itu, pelakon ini juga terpaksa menolak beberapa tawaran lain berikutan faktor masa dan komitmen yang sudah dipersetujui.

“Ada beberapa syarikat produksi yang mahu menghasilkan drama lain tawar saya berlakon. Tetapi, saya perlu dahulukan komitmen yang sudah dipersetujui.

“Saya tidak mahu ‘rembat’ semua hingga membebankan orang lain pula. Cukup saya penuhi komitmen yang ada. Saya tidak mahu tamak dan menyusahkan diri kelak,” jelasnya.

Menurut Azza, dia menganggap dirinya seperti pelakon baharu dan memberi 100 peratus komitmen ketika berada di lokasi penggambaran.

“Saya anggap diri ini macam pelakon baharu. Disiplin dan datang awal ke set penggambaran seperti ditunjukkan Rozita Che Wan dan Fasha Sandha saya contohi.

“Mereka boleh datang awal. Malulah pelakon lama macam saya kalau datang lambat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain