“8 Tahun Saya Menunggu” – Ben Amir Capai Impian Untuk…

Pelakon Ben Amir berkongsi rasa teruja impiannya untuk berlakon filem tercapai setelah lapan tahun dalam industri.

Menurut Ben, ia menjadi kenyataan apabila dia bakal membintangi filem aksi terbaharu berjudul Rebel.

“Lapan tahun saya menunggu peluang ini dan apabila ditawarkan, ia umpama satu imaginasi saya yang menjadi kenyataan. Sejak dulu, ketika masih bergelar pelakon tambahan, matlamat saya adalah untuk menjadi hero dan berlakon dalam filem.

“Saya tak kisah apa pun genre filem yang saya akan lakonkan, tapi paling saya nantikan adalah filem bergenre aksi. Jadi, bila dapat peluang, saya rasakan ini umpama satu permulaan baharu buat kerjaya saya,” katanya.

Pelakon ini turut menjelaskan filem Rebel arahan pertama penyanyi dan pelakon, Datuk Awie, ini merupakan satu filem aksi yang sarat dengan mesej buat penonton.

“Dalam filem Rebel ini, saya memegang peranan sebagai Luka, iaitu watak utama. Kehidupan Luka dikelilingi dengan kejahatan, dadah, gengster, pelacuran dan banyak lagi perkara-perkara tidak bermoral.

“Walau bagaimanapun, dia memilih untuk tidak terjerumus ke dalam kancah itu. Dia memilih untuk menjadi orang yang baik dan banyak membantu orang di sekelilingnya. Dia gunakan pengaruh yang dia ada untuk merekrut pasukannya dan membantu melawan kejahatan.

“Menerusi watak Luka, ada banyak kelainan untuk diri saya sendiri sebagai pelakon. Dalam filem ini, tak banyak sangat babak percintaan, sebaliknya lebih memfokuskan kepada aksi dan nilai hubungan persahabatan atau ‘brotherhood’,” kongsinya.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain