Issey Pilih Rakan Sekolah, Akhiri Zaman Duda Tak Lama Lagi

Pelakon, pelawak dan penyampai radio, Issey atau nama sebenarnya Fazlisham bin Mat Hussin mengumumkan bahawa dia bakal menamatkan zaman dudanya dengan seorang kenalan dari zaman sekolah pada 22 Disember ini.

Issey memberitahu, bakal isterinya juga adalah seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak yang kematian suami dua tahun lalu dan mereka akan melangsungkan pernikahan di kampung halaman mereka di Kota Bharu, Kelantan.

Sebelum ini, Issey pernah berkahwin dengan Syuhadaa Syafiqqa Abdul Rashid pada 19 Mac 2015 tetapi berpisah setahun kemudian.  Mereka juga tidak dikurniakan cahaya mata. 

“Saya bakal bernikah dengan kenalan lama zaman sekolah. Dia adalah ibu tiga anak dan bertugas sebagai pengurus sumber manusia di sebuah syarikat swasta,” katanya di dalam video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, semalam.

Issey berharap segala perancangan bagi majlis pernikahannya berjalan dengan lancar dan dia meminta maaf kerana merahsiakan perkara itu dari umum. 

“Saya minta maaf pada semua.  Sebenarnya, niat hendak merahsiakan perkara ini… Doakan semuanya lancar,” katanya Issey lagi. 

Kredit Foto: Instagram @isseyfazlisham

Del14