Izara Aishah Hamil Enam Bulan

Selepas gambar dengan ‘baby bump’ tular baru-baru ini, pelakon Izara Aishah akhirnya mengumumkan dia kini hamil enam bulan.

Baca: Izara Aishah Tayang ‘Baby Bump’?

Akui Izara kepada Berita Harian Online, usia kandungannya sudah mencecah usia enam bulan.

“Sejak mendirikan rumah tangga, saya dan suami memang merancang untuk mendapatkan zuriat pada 2020 kerana masing-masing sibuk bekerja. Selain itu, kami juga mahu menikmati masa bersama terlebih dahulu. Alhamdulillah, Tuhan memakbulkan doa saya dan suami.

“Sebelum ini, apabila ada yang bertanya soal zuriat, masing-masing tidak berani untuk mengatakan kami ada perancangan sendiri. Kami hanya mengaminkan sahaja doa mereka. Pada masa sama, ada segelintir pihak di luar saya yang menuduh saya mandul.

“Seperti yang diketahui ramai, saya bukannya suka berkongsi hal peribadi secara terbuka. Berita kehamilan ini pun saya simpan selama enam bulan sebelum sedia untuk dikongsi,” kata Izara.

Menurut pelakon berusia 27 tahun ini, dia sangat bersyukur kerana kandungannya berada dalam keadaan baik.

Tambah Izara, dia bersyukur tidak mengalami sebarang alahan seperti mana kelaziman yang dilalui wanita yang hamil anak pertama.

“Saya langsung tiada alahan. Alhamdulillah, bayi dalam kandungan juga sihat. Saya sendiri masih memenuhi pelbagai undangan, termasuk majlis perkahwinan teman baik, Farah Nabilah, baru-baru ini,” katanya.

Izara berkahwin dengan anak tiri penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adib Khalid pada 17 November 2017.

SGMS Faida