Izzmad Harun Tak Kisah Digelar ‘Wajah Charity’

Penyanyi Izzmad Harun mengaku tidak kisah digelar ‘wajah selebriti charity’ memandangkan sering turun padang menjalankan program amal.

Kata Izzmad atau nama sebenarnya Mohammad Hazwan Harun, dia mahu mengambil peluang turut serta dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan.

“Ini mungkin peluang dan ruang untuk saya mengumpul saham akhirat. Saya tidak kisah kalau orang sering lihat saya menyanyi di program amal kerana saya seronok lakukannya.

“Walaupun tanpa sebarang bayaran, keseronokan yang saya terima amat luar biasa. Sukar digambarkan dengan kata-kata. Jika diberi peluang di masa akan datang, saya mahu teruskan. Doakan saya terus sihat dan diberi kudrat untuk terus turun padang untuk turut serta membuat kutipan amal,” katanya kepada Xtra.

Penyanyi berusia 24 tahun ini ketika ditemui di sidang media Busking Permata Kasih Untukmu AFI Prihatin 2.0 memberitahu dia amat berterimaa kasih dengan penyanyi Aiman Tino dan Fara Hazel.

“Saya pun terkejut bila Aiman mengajak saya untuk sertai program amal bersama kakaknya, Fara. AFI membawa maksud Aiman, Fara dan Izzmad dikira sebuah ‘jenama’ yang akan bergerak agresif menghiburkan penonton sambil mengutip derma bagi yang memerlukan bantuan.

“Saya tidak fikir panjang, terus setuju bila dijemput menyertai program ini. Insha Allah, jika ada peluang bersama mereka lagi, saya sedia menghiburkan orang ramai tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya. 

Terdahulu, AFI telah menghiburkan peminat di Bagan Datuk, Perak pada 21 September lalu. 

Seterusnya, busking Permata Kasih Untukmu bakal diadakan pada 7 Disember ini bertempat di BMC Mall, Cheras bagi memungut dana membantu adik Akif yang menghidap kanser Leukimia.

SGMS Faida