“Jadi Bodoh Macam Tak Ingat Apa-Apa, Terlantar Macam Mayat Hidup” – Nadya Syahera Trauma Disihir Pembantu Rumah

Pelakon, Nadya Syahera memaklumkan dia kini trauma untuk mengambil pembantu rumah setelah kejadian gangguan sihir terjadi di rumahnya kira-kira awal tahun lalu.

Menurutnya, kejadian itu memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap keluarganya apabila dalam tempoh dua minggu sahaja dia kelihatan seperti mayat hidup.

Dan, perkara itu hanya disedari selepas sepupu yang tinggal di rumahnya melihat keadaan Nadya sekeluarga  yang tidak menentu sejak pembantu rumah berusia lingkungan 50 tahun itu mula bekerja di sana.

“Sepanjang dua minggu dia di rumah kami, jadi bodoh macam tak ingat apa-apa sampai satu tahap saya terlantar macam mayat hidup tapi doktor sahkan tiada penyakit hingga kemudian terpaksa panggil ustaz.

“Cuma saya dan suami tak syak apa-apa biarpun pernah terjumpa cecair seperti minyak dicurahkan di penjuru bilik air di dalam bilik tidur kami, bulu burung dan sebagainya,” katanya.

 

Disebabkan kejadian itu , aktres berkenaan terpaksa berehat dari dunia lakonan untuk memberikan tumpuan terhadap anak ketiganya yang masih kecil memandangkan suaminya, Mohd. Hafizul Md. Nawi kerap ke luar daerah atas urusan perniagaan.

“Ikutkan setahun saya tak ambil apa-apa tawaran berlakon sebab tiada pengasuh. Sepanjang tempoh itu memang rindu nak kembali ke set tetapi saya simpan hasrat itu sampailah sekarang apabila anak ketiga sudah cecah usia 10 bulan.

“Kalau nak berlakon untuk tempoh sekejap dan lokasi pula di sekitar sini (ibu kota) boleh saja, begitu juga kerja pengacaraan. Tiada masalah kalau tak ambil masa panjang.

“Cuma untuk ambil pembantu rumah baharu jaga anak-anak bagi membolehkan saya keluar bekerja, mungkin tidak. Saya masih trauma,” jelasnya.

Tidak mahu terus mengalami gangguan mental, Nadya mengakui sebelum mereka mengambil keputusan untuk berpindah ke kediaman lain, mereka sekeluarga juga terpaksa tinggal di sebuah gudang.

 

Sumber: Kosmo

 

Salma Syahbuddin