‘Kehilangan Masih Terasa’- Jalaluddin Hassan Sebak Rai Syawal Tahun Ini

Patah Tumbuh Hilang Berganti…Itu mungkin perumpamaan sesuai bagi mengubat duka bagi setiap orang yang pernah mengalami kehilangan orang tersayang.

Tetapi bagi pelakon senior Datuk Jalaluddin Hassan, pemergian arwah bapa tersayang pada Oktober tahun lalu menyifatkan ia sebagai kehilangan terbesar sepanjang hidupnya.

“ Ini merupakan pertama kali dalam hidup saya beraya tanpa Abah. Walaupun sudah beberapa bulan arwah pergi, kehilangan beliau masih terasa sampai sekarang.

“ Saya masih menyesuaikan diri hidup tanpa arwah abah di sisi. Namun itu tidak bermakna saya perlu menangis setiap masa kerana apa yang lebih penting adalah doa dari seorang anak agar rohnya tenang di sisi Allah SWT,” katanya kepada Xtra.

Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari yang merupakan tokoh agama terkenal meninggal dunia pada usia 90 tahun selepas menghidap penyakit kanser limfoma tahap empat.

Tambah Jalaluddin lagi yang meraikan Syawal di ibu kota tahun ini juga bakal mengunjungi pusara arwah bapa bersama ahli keluarga lain.

“ Sebagai umat Islam, kita pergi ke Kubur jangan terlalu mengikut emosi sedih sebaliknya berasa lebih insaf.

“ Sebagai seorang anak sudah tentu saya tidak putus doa buat arwah bapa agar dipermudahkan urusannya yang kini di alam abadi. Insha Allah,” akhirinya dalam nada sebak.

Al-Fatihah buat Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari…

SGMS Fas