Syawal Tetap Ceria Walau Tanpa Suami

Apa juga dugaan yang dilalui, hidup perlu diteruskan. Bagi penyanyi Ziana Zain, kedatangan 1 Syawal tetap disambut ceria, meskipun tanpa suami di sisi.

Pemilik nama lengkap, Siti Roziana Zain, 50, berkata, dia tidak merasai sebarang perbezaan selepas berpisah pada 12 Julai lalu, malah persiapan tetap dilakukan sama seperti tahun terdahulu.

“Bagi saya, kedatangan hari raya perlu disambut dengan penuh kesyukuran. Ia hari meraikan kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa.

“Sebagai ibu tunggal, fokus semestinya diberikan lebih pada anak. Alhamdulillah, anak sudah besar dan mereka faham situasi yang berlaku, tanpa perlu saya menjelaskan apa-apa.

“Perkara paling penting, kita kena sentiasa positif dan pandang ke hadapan kerana mahu atau tidak, kehidupan perlu diteruskan,” katanya.

Ziana berkata, dia hidup gembira bersama empat anaknya iaitu Muhammad Aiman, 18, Muhammad Ammar, 14, dan pasangan kembar, Muhammad Ariel serta Siti Nur Kaseh, 9.

Bagi penyanyi Madah Berhelah itu, dia bersyukur dikurniakan keluarga yang akrab dan sentiasa mengambil tahu antara satu sama lain.

“Adik-beradik saya semuanya gila-gila, ditambah pula dengan kerenah anak buah, membuatkan saya tidak pernah kesunyian.

“Keluarga saya sentiasa meriah, bising dan ceria. Ada sahaja perkara yang kami lakukan bersama-sama, terutama pada musim Aidilfitri.

“Daripada mengenang episod sedih, lebih baik saya hargai orang yang ada di depan mata. Mereka ini sentiasa bersama memberikan sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya.- BH Online. 

SGMS Faida