‘Mana Tahu Tahun Depan Beraya Bertiga Pula’- Fazura

Kali kedua menyambut Syawal bersama, pasangan suami isteri selebriti, Nur Fazura dan Fattah Amin, mengaku keterujaan merayakan lebaran tahun ini semakin bertambah.

Menurut Fazura, tahun ini mereka pulang ke kampung halaman suaminya di Bagan Datuk, Perak.

 “ Tahun lalu, pada hari raya pertama, kami beraya di kampung saya di Pekan, Pahang. Jadi, tahun ini giliran saya untuk beraya di kampung suami di Perak pula. Bagaimanapun kami akan pulang ke kampung saya lebih awal kerana mahu beraya dengan emak, selain menziarah kubur arwah ayah dan saudara mara lain.

“ Walaupun tahun ini bukan kali pertama kami beraya sebagai suami isteri, bagi saya ia tetap sesuatu yang istimewa buat kami berdua. Justeru, pada Syawal kali ini, saya mahu menikmati sepenuhnya kasih sayang suami. Manalah tahu tahun depan kami beraya bertiga pula?” katanya kepada BH Online.

Tambah Fazura, dia juga menerima soalan ‘wajib’ setiap kali meraikan Syawal iaitu mengenai cahaya mata.

 “ Kami sudah biasa dengan soalan itu (anak). Bukan setakat musim perayaan, malah baru-baru ini ketika hadir ke sesi mempromosikan jenama pakaian kami berdua, ramai yang pegang perut saya sambil mendoakan semoga saya segera hamil.

“ Orang kita memang suka bertanya dan apabila diajukan dengan soalan begitu, jawapan kami tetap sama, iaitu semoga diizinkan Allah. Kami juga meminta mereka sama-sama mendoakannya,” katanya yang sibuk di dapur untuk menyediakan menu raya dan juadah kegemaran si suami.

Menurut Fazura, dia akan membantu ibu memasak di dapur dan membakar lemang bersama suami.

“ Pada malam raya, saya akan membantu ibu memasak. Saya juga ada tradisi sendiri, iaitu membakar lemang bersama suami.

Dalam perkembagan lain, Fazura juga bakal sibuk mencari idea untuk menghasilkan koleksi terkini sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019 selepas selesai meraikan lebaran.

“ Projek saya selepas raya adalah mencari idea untuk rekaan fesyen sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019. Dalam soal lakonan pula, saya mahu berehat dahulu sehinggalah menerima skrip yang menarik dan tidak kelihatan sama dengan naskhah yang sering kita tonton di kaca TV, hari ini.

“ Jujurnya, saya jemu dengan cerita yang sering menonjolkan kelemahan golongan wanita. Sudah tiba masanya untuk kita menghasilkan filem yang memaparkan tema memperkasakan wanita.

“ Saya percaya akan ada pengarah tempatan yang tampil dengan filem sebegitu dan saya pula sanggup tunggu detik itu,” ungkapnya optimis.-BH Online.

SGMS Faida