Janna Nick Keluar Hospital Demi Siti

Setelah beberapa hari demam panas sehingga muntah-muntah, pelakon Janna Nick dimasukkan ke hospital semalam bagi memantau keadaannya. 

Baca: Muntah-Muntah, Janna Nick Dikejarkan Ke Wad Kecemasan

Namun kerana komitment terhadap teater Siti Di Alam Fantasi, Janna meminta pelepasan untuk keluar wad bagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai pelakon. 

Memetik laporan BH Online, pengurusnya, Afeeq Abdul Wahab berkata doktor memberikan pelepasan bersyarat dengan meminta pelakon tersebut kembali ke wad sejurus selepas pementasan kerana keadaan yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya dimaklumkan Janna belum sembuh sepenuhnya, tetapi dia kuat semangat dan mahu bersama-sama rakan lain, yang sudah lebih dua minggu berlatih, tampil di Istana Budaya pada pementasan pertama, malam ini.

“Setakat ini doktor memberikan pelepasan di atas tanggungan sendiri selepas dia berkeras menegaskan mampu melaksanakan tanggungjawabnya untuk pementasan terbabit. 

“InsyaAllah, andai tiada aral, seperti dijanjikan Janna akan menggalas watak yang diserahkan kepadanya dalam teater Siti Di Alam Fantasi, namun sebaik sahaja selesai, dia perlu bergegas kembali ke hospital,” katanya. 

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah binti Muner (24) merupakan tunjang utama bagi pementasan teater berkenaan yang berkisar pada dunia khayalan seorang gadis cantik tetapi sarat sifat sombong. 

Siti Di Alam Fantasi turut dijayakan oleh Fizo Omar, Datin Paduka Umie Aida, Erma Fatima, Datuk Ziela Jalil, Johan Raja Lawak, Abam Bocey, Issey Fazlisham, Ozlynn Waty, dan Isma Halil bermula 21 hingga 26 November ini. 

 

Kredit Foto: Instagram @jannanick

 

Del14