Jarang Kongsi Foto Bersama, Azlan Typewriter Tepis Ada Masalah Dengan Isteri – “Biasalah Asam Garam Rumah Tangga”

Penyanyi Azlan & The Typwriter menepis dakwaan mengenai rumah tangganya goyah gara-gara tidak berkongsi foto bersama isteri di media sosial.

Menurut Azlan atau Nor Azlan Rosle Sallehudin, dia menjelaskan tindakannya tidak berkongsi foto bersama isteri adalah demi menjaga privasi rumah tangganya.

“Daripada zaman sebelum ini lagi saya didik mengenai privasi. Setakat ini rumah tangga okey sahaja, tiada masalah.

“Saya rasa isteri saya pun tak mahu (kongsi gambar).

“Mungkin cara saya mengajar isteri saya daripada awal lagi yang saya beritahu dia yang bertugasnya adalah saya, dia pun ada tugasnya sendiri, dia buat kerja dia dan begitu juga saya,” katanya menerusi temu bual bersama Melodi, baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Jangan Khianati Aku ini lagi, dia memaklumkan mempunyai akaun peribadi sendiri untuk tatapan keluarga sahaja. Malah menegaskan hubungannya dengan isteri dalam keadaan baik.

“Saya rasa hubungan rumah tangga ini, ada perkara perlu disimpan dan ada perlu ditunjuk. Saya tak terlalu ‘open’ sangatlah.

“Saya ada akaun peribadi khas untuk keluarga. Zaman sekarang itulah album gambar kita. Hubungan rumah tangga okey, semuanya serba cukup, biasalah asam garam rumah tangga.

“Kalau tak bergaduh macam bukan rumah tangga pula tapi sebagai suami isteri kena bertolak ansurlah, itu kunci yang baik untuk dapatkan sebuah keluarga yang elok.

“Setakat ini okey sahaja, orang rumah saya suruh kahwin lagi satu pula,” seloroh Azlan.

Azlan mendirikan rumah tangga dengan Normala Hassan pada 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Sumber: Melodi TV3

Khairil Khusyairi