Pengacara dan pelakon popular, Jihan Muse mengaku bukan ibu yang baik sekiranya tidak berjaya membesarkan anaknya dihadapan mata seiring kejayaan yang diraihnya dalam bidang pengacaraan.

Jihan atau nama sebenarnya, Nur Jihan Muse, 39, berkata, dia dan suami yang juga pelakon, Ungku Hariz mencabar diri sendiri untuk membesarkan kedua-dua anak mereka tanpa bantuan ‘helper’.

“Sebenarnya ada helper atau tidak terpulang pada individu masing-masing. Macam saya, saya boleh kerja depan beribu orang saya rasa benda tu macam saya tak ada masalah langsung. Tapi kalau dekat rumah saya rasa saya tak hebat. Saya rasa saya hebat dengan kerjaya saya tapi sebagai isteri dan ibu saya tak berapa hebat.

“So, saya rasa apa lagi challenge saya nak buat kat diri saya? Kalau kerja, amcam-macam kerja saya dah buat. Setakat ni, alhamdulillah semua kerja-kerja saya tu untuk diri saya saya berjaya dan klien juga kebanyakannya berpuas hati.

“Tapi klien yang sebenar yang Allah bagi ni (anak-anak) macam mana? Boleh tak saya handle kalau saya kerja. So, more to nak challenge diri kita lah terutamanya kami sebagai suami isteri.

“Sebenarnya pendorong utama memang suami saya lah… dia yang banyak mencabar saya. Dia kata boleh kerja tapi boleh tak settle tanggungjawab? Maksudnya kalau kerja kat luar tu boleh settle dan kerja dekat rumah juga terer baru betul-betul terer,” katanya.

Jihan mencabar diri sendiri untuk menjalankan tanggungjawab sebagai selebriti, isteri dan juga ibu yang berjaya.

Jihan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program I Can See Your Voice Musim Ke-6 yang diadakan di Cornerstone IPC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Jihan juga menepis dakwaan kononnya dia kini sudah bersara dari bidang pengacaraan seperti yang didakwa oleh beberapa pihak dek kerana jarang muncul di kaca televisyen.

“Saya belum bersara. Saya mahu jelaskan, saya belum ambil keputusan untuk memperlahankan perjalanan seni saya dan saya masih ada dalam industri ini.

“Mungkin klien saya sudah jarang nampak kelibat saya di TV kerana saya memang menjarak-jarakkan tugas kerana sebagai seorang ibu anak dua sekarang, melekat pula jadi saya memang akan ambil kerja yang sesuai dengan waktu dan betul-betul saya nak buat dan kebanyakan tawaran yang saya ambil tidak perlukan komitmen panjang.

“Macam ICSYVM ni saya buat sebab saya memang suka. Kalau ikutkan patutnya tahun lepas pun ada tapi disebabkan masa tengah recording tu saya memang tengah trimester dan mabuk teruk  tu yang memang tak boleh buat tu, “ jelasnya.

Antara barisan panel penyiasat dan juga hos ICSYVM6.

Sekadar info, Jihan bersama-sama Ropie, Baby Shima dan Khir Rahman akan bertindak sebagai panel penyiasat dalam ICSYVM6 yang akan mula bersiaran pada 4 Jun depan.

Dihoskan oleh Izzue Islam dan Shiha Zikir, ICSYVM6 ini akan ditayangkan selama 11 episod pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam di TV3.

Salma Syahbuddin