“Jodoh Rezeki Allah” – Anita Baharom Tahan Sabar Dengan Netizen Gara-Gara…

Pelakon Anita Baharom memaklumkan bahawa dia banyak menahan sabar dengan segelintir warganet apabila mengeatahui dirinya bakal menamatkan status sebagai ‘ibu tunggal’.

Kata Anita, dia menahan sabar dengan segelintir individu yang menghantar kiriman menerusi kiriman langsung (DM) di Instagramnya meminta untuk menunggu sekurang-kurangnya setahun selepas pemergian suaminya, Allahyarham Mohd Ismadi Ismail yang telah menghadap ilahi pada 1 Januari lalu.

“Saya hanya mampu bersabar menerima mesej-mesej seperti itu. Kalau jawab nanti, dibimbangi jadi persepsi lain pula. Apapun, saya berterima kasih sebab masih ramai lagi yang mengirimkan mesej positif melalui Instagram, termasuk mengucapkan tahniah di atas jodoh ini,” kongsinya.

Memetik laporan Harian Metro, Anita menganggap orang luar tidak berada di situasinya dan membiarkan saja apa yang mereka hendak berkata.

“Pada saya, biarlah orang nak cakap apa saja kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya yang saya tanggung. Apa trauma saya alami hingga sekarang. Mereka tidak duduk di tempat saya dan buat apa nak melayan dan terlalu memikirkannya.

“Saya anggap kehadiran jodoh baharu ini rezeki daripada Allah. Setiap orang itu, dugaan dan jalan hidup ditempuhi berbeza-beza. Saya pula menerima semua ini dengan rasa syukur, reda dan seikhlas hati,” katanya kepada Harian Metro.

Untuk makluman, pelakon yang terkenal dengan drama Dunia Baru itu bakal berkahwin kali kedua dengan Engku Isyamuddin Tuan Losin, 48, di Subang Jaya, Selangor, pada Khamis ini.

Lagi, bakal suaminya itu berstatus duda dan memiliki lapan orang cahaya mata. Namun, mereka saling mengenali antara satu sama lain sejak 2017 di acara Sukan Sea Kuala Lumpur.

Namun begitu, mereka mula berhubung rapat selepas Anita tamat edah kematian suaminya dan perancangan perkahwinan pula dibuat pada November lalu.

Artikel Berkaitan: Anita Baharom Bakal Berkahwin Dengan Duda Anak Lapan – “Kami Kembali Berhubung Selepas…”

Hasil perkahwinan Anita selama 16 tahun bersama Allahyarham Mohd Ismadi, mereka dikurniakan tiga orang permata hati iaitu Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari